Wednesday , 29th Mar, 2017
Home / Personal / Biografi Mohd Zain bin Abu (1923-2009)
Mohd Zain Family

Biografi Mohd Zain bin Abu (1923-2009)

Atok dan Nenek

DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PENGASIH, LAGI MAHA PENYAYANG

AL-FATIHAH

MOHD. ZAIN BIN ABU (1923-2009)

PENGENALAN

Haji Mohd. Zain Abu menjalani kehidupan yang cukup ringkas. Dari seorang kanak-kanak kampung biasa, beliau telah mempertingkatkan dan memperbaiki kehidupan beliau serta keluarga kepada sebuah keluarga berpendapatan kelas pertengahan. Kepercayaan kukuh beliau terhadap pentingnya pendidikan telah menjadi pemangkin utama dalam hal ini. Hingga ke detik-detik akhir kehidupannya, beliau masih gigih menguasai bahasa Arab dan mendalami kitab suci Al-Quran.

Biografi ringkas beliau ini, yang sebenarnya sebanyak sedikit boleh dianggap kisah Radio Televisyen Malaysia (RTM) sendiri, merupakan suatu percubaan untuk mengimbau kenangan dan sejarah kehidupan beliau. Beliau dikenali sebagai ‘Orang Berita’ walaupun beliau menghabiskan sebahagian besar masanya di balik meja editorial dan bukannya di hadapan mikrofon.

Nama Haji Mohd. Zain Abu akan sentiasa terpahat di dalam memori mereka yang mengenalinya sebagai seorang yang berkarisma, peramah, rendah diri, bersikap positif, ringan tulang dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa mengira status.  Sehingga akhir usianya beliau sering melawat ke rumah anak-anak dan cucu-cucunya untuk mengambil tahu mengenai perkembangan ahli keluarganya dengan penuh minat. Beliau akan menanyakan khabar dan pasti akan menawarkan bantuan jika terdapat sebarang masalah yang dihadapi ahli keluarganya. Di antara pesanan terakhir beliau adalah i) pendidikan adalah perkara paling penting dan wajib diutamakan ii) elakkan permusuhan dengan sesiapa pun dan iii) jadilah manusia yang bermanfaat.

Di samping itu Zain Abu yang dikenali sebagai ‘Orang Berita’ yang melaporkan hal-hal antarabangsa dan tempatan, isteri beliau pula menjadi gedung maklumat perihal keluarga. Hajah Siti Hajar rajin menelefon semua ahli keluarga untuk bertukar khabar dan maklumat. Tanpa sengaja, beliau menjadi pusat pertukaran maklumat keluarga. Anak-anak hanya perlu menelefon Hajah Hajar dan maklumat pasti akan disampaikan kepada semua ahli keluarga yang besar ini. Beliau adalah seorang yang penyayang dan sukakan haiwan peliharaan; pernah suatu ketika terdapat lebih dari 20 ekor kucing di rumahnya! Sungguhpun begitu, Zain adalah seorang suami yang sangat penyayang dan tidak pernah kenal erti lelah dalam membahagiakan isterinya walaupun ia bermaksud memastikan minat serta hobi isterinya diteruskan. Jika tidak kelihatan dari pertuturannya pasti kelihatan dari sikap dan pengorbanannya.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri RahmatNya ke atas beliau suami-isteri dan meletakkan mereka bersama para-para salihin di Jannatul Firdaus.

MEMBESAR DI TELOK PANGLIMA GARANG

Haji Mohd. Zain Abu, atau Zain Abu kepada rakan-rakannya, dilahirkan sebagai Talip bin Abu pada 16 September, 1923 di Telok Panglima Garang, Selangor. Beliau merupakan anak ketiga kepada Abu bin Jaamat (1895-1956) dan Tijah bte Jalal (1900-1982). Ibu bapanya merupakan orang kampung yang biasa. Sungguhpun begitu, mereka mempunyai impian dan cita-cita besar untuk anak-anak mereka. Telok Panglima Garang, atau lebih dikenali sebagai Telok oleh penduduk tempatan, merupakan sebuah pekan kecil yang terpencil, didiami oleh kebanyakannya orang Melayu berketurunan Bugis. Datuknya Jaamat, telah merantau ke Tanah Melayu di mana bapanya Abu dilahirkan.

Anak-anak beliau menggelar beliau Babah. Bagi anak-anak saudaranya dari sebelah keluarga beliau, beliau ialah Pak Alang. Manakala di sebelah keluarga isterinya pula, beliau digelar Pak Bibik. Isterinya, yang selesa berbahasa Inggeris pula, dengan penuh segan silunya menggelar beliau ‘Daddy’.

Beliau mempunyai enam orang adik-beradik lelaki dan dua orang adik-beradik perempuan. Mereka adalah Mohd. Diah, Mohd. Wahi, Mohd. Shahar,

Hendon, Maitom, Jamaluddin Jamlus, Ariffin, dan Mohd. Said. Adiknya, sama ada Mohd. Shahar atau Ariffin, sangat mirip dan hampir tidak dapat dibezakan paras rupa dengan beliau.  Untuk membezakan mereka, telinga kanan Zain Abu bertindik kecil yang hanya kelihatan oleh mereka yang benar-benar meneliti. Mohd. Shahar meninggal pada umur lewat 40’an,  manakala Ariffin meninggal dunia pada usia muda.

Pendidikan telah memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan Zain Abu. Beliau pernah menceritakan bagaimana beliau dan dua orang abangnya, Mohd. Diah dan Mohd. Wahi, akan tetap pergi ke sekolah walaupun terpaksa berkaki ayam. Sebagai adik ketiga, dialah yang ditugaskan menjunjung dulang bungkusan makanan tengahari mereka di atas kepalanya.

PENDIDIKAN DAN KERJAYA AWAL

Titik tolak kejayaan Zain Abu adalah ketika beliau dihantar ke Sekolah Rendah Batu Road di Kuala Lumpur. Zain Abu berjaya mendapat tempat terbaik di dalam kelas dan ditawarkan biasiswa secara peribadi oleh pegawai Resident British untuk menyambung persekolahan ke peringkat menengahnya di Victoria Institution (VI). Ketika itu, VI terletak di High Street, Kuala Lumpur, sebelum dipindahkan ke Jalan Shaw. Beliau juga mewakili VI dengan kebolehannya bermain bola sepak, suatu bakat yang malangnya tidak diwarisi oleh anak-anak lelaki beliau. Dua orang daripada anak-anak lelakinya, Abdullah Faiz dan Ahmad Faizal, telah mengikuti jejak langkah beliau apabila turut bersekolah di VI. Beliau adalah ahli seumur hidup Persatuan Murid Tua VI (Life member VI Old Boys Association).

Beliau telah lulus Sijil ‘Senior Cambridge’ dengan cemerlang dan ditawarkan berkhidmat di Akhbar Harian Majlis, sebuah akhbar tempatan. Di sinilah tempat bermulanya beliau berkenalan dengan bakal bapa mentuanya, Haji Othman bin Haji Abdullah, yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa hadapan Zain Abu.

Haji Othman (1905 – 1968) merupakan cucu peniaga terkenal Melayu di Kuala Lumpur, Haji Muhammad Taib bin Haji Abdul Samad (1858 – 1925), yang berasal dari Batu Sangkar di kawasan Minangkabau, Sumatera Barat. Haji Mohd. Taib ialah seorang peniaga kelahiran Sumatera yang berpengaruh. Beliau juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Jamek, salah satu masjid paling bersejarah yang terletak di kuala Sungai Klang dan Gombak. Sebagai pengiktirafan sumbangan beliau kepada pembangunan Kuala Lumpur, sebuah jalan di Kuala Lumpur telah dinamakan sempena nama beliau. Haji Othman gagal dimasukkan ke VI oleh kerana usianya yang lanjut. Lanjutan itu, bapanya, Haji Abdullah (1886 – 1945), telah menghantar beliau ke Mekah untuk meneruskan pengajian dalam jurusan agama.  Beliau kemudian berhijrah ke Kaherah, Paris, dan London dalam tahun 20-an di mana beliau berkesempatan bersua dengan Tunku Abdul Rahman, Syed Sheh Barakbah, dan juga tokoh tersohor kelahiran Indonesia, Drs. Mohd. Hatta. Hal ini menjadikan beliau seorang yang fasih berbahasa Inggeris, Perancis, dan Arab, selain daripada bahasa ibundanya.

Haji Othman telah melibatkan diri dalam pentadbiran dan pengurusan, serta dengan sendirinya membiayai akhbar ‘Seruan Azhar’ di pertengahan 20-an. Sekembalinya beliau ke Malaya, beliau melibatkan diri dalam kegiatan politik dan penerbitan. Beliau aktif dalam Persatuan Melayu Selangor dan Kesatuan Melayu Muda. Pihak pentadbiran Jepun ketika itu juga telah memberikan kebenaran kepada beliau untuk terus menguruskan Majlis, iaitu akhbar yang lazimnya dianggap sebagai pro-British. Beliau turut dibenarkan untuk menerbitkan ‘Perubahan Baru’ pada tahun 1942 setelah penerbitan ‘Majlis’ dihentikan.

Namun begitu, hanya setelah berlalunya Perang Dunia Kedua, dalam tempoh lewat 40-an inilah, bakal menantu beliau, Zain Abu, diberi peluang untuk mendalami jurusan kewartawanan di London, England selama sembilan bulan. Zain Abu telah dibiayai oleh Akhbar Harian Majlis untuk mengikuti kursus   bidang kewartawanan di School of Publishing, Foreign Language Department, London Polytechnic di Fleet Street. Sehingga kini, Fleet Street merupakan nadi media dan percetakan akhbar sedunia. Biasiswanya bernilai Pound Sterling 26, dan beberapa Shilling sahaja, ketika itu.

Zain Abu tiba di United Kingdom pada 15 September, 1949, satu hari sebelum hari jadinya yang ke-26. Beliau mendapat latihan kewartawan sewaktu Britain menghadapi pilihan raya umum pada bulan Februari 1950. Pada bulan March 1950, Wong Peng Soon dari Malaya telah mengalahkan Poul Holm dari Denmark di Earl’s Court, London dalam pertandingan akhir keseorangan All England Badminton Open Championships. Sebuah mesyuarat telah diadakan menyambut Maulud Nabi Islamic Cultural Society  di London pada 30 Disember, 1949. Beliau juga telah merekodkan mesyuarat umum Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Students’ Organisation of Great Britain) apabila Tun Abdul Razak Hussein dilantik presiden pada keesokan hari pada 31 Disember, 1949. 16 June, 1950 merupakan tarikh akhir pengajian beliau di School of Printing, Fleet Street, London. Semua perkara ini dicatat secara terperinci dalam diarinya.

Dalam tempoh itu, disamping berhubung dengan Haji Othman Abdullah yang kemungkinan besar merupakan mentornya, Zain Abu kerap juga berutus surat dengan bakal isterinya, Siti Hajar bte Othman. Mengikut catatan diarinya, Siti Hajar mengirim surat satu atau dua minggu sekali. Beliau kemudian berkahwin dengan Siti Hajar pada 29 September, 1951. Lazimnya, kumbang menyunting bunga melalui ibunya, tetapi Zain Abu telah melakukannya dengan cara mendampingi bapa mentuanya!

Hajah Siti Hajar yang dilahirkan pada 11 Disember, 1929, telah dibesarkan di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Siti Hajar merupakan puteri golongan aristokrat yang suka dimanjakan oleh nindanya. Beliau sering meriwayatkan kisah-kisah perit zaman kanak-kanaknya di mana bom-bom yang dilepaskan oleh pihak Jepun dari langit ketika itu seperti ‘buah cermai.’ Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Perempuan Bukit Bintang (Bukit Bintang Girls’ School) di Kuala Lumpur, yang ketika itu terletak berhampiran dengan rumahnya di Jalan Kemuning, Daerah Pudu. Sebagai seorang yang berpendidikan, penguasaan bahasa Inggerisnya sering mengagumkan ramai pihak.

KEHIDUPAN AWAL BERKELUARGA

Zain Abu memulakan kehidupan berkeluarganya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Siti Hajar berasal dari keluarga yang besar; sanak saudaranya ramai yang ketika itu menetap di kawasan Pudu dan daerah Petaling di Selangor. Cahaya mata sulung mereka, Muhammad, dilahirkan pada tahun 1952 tetapi telah pulang ke pangkuan penciptanya sejurus kemudian. Alhamdulillah, mereka kemudiannya dikurniakan dengan enam orang anak iaitu Faizah (1953), Abdullah Faiz (1955), Ahmad Faizal (1956), Alam Faizli (1958), Azam Fairuz (1962), dan Azad Faizlin (1963). Kesemuanya telah dilahirkan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor, kecuali Alam Faizli yang telah dilahirkan di Dungun, Terengganu ketika Zain Abu diarahkan bertugas di Bukit Besi oleh majikannya, Eastern Mining and Metal Company.

Walaupun tugas dan tanggungjawab membawanya dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Bukit Ibam, Bukit Besi dan Kota Bharu, Zain Abu telah memastikan ketiga-tiga anaknya yang masih melalui alam persekolahan menetap dan bersekolah di Petaling Jaya. Beliau sekeluarga akhirnya berpindah ke Jalan Sentosa, Petaling Jaya pada tahun 1962/63.  Zain Abu sekeluarga kemudiannya berpindah ke Bukit Petaling, Kuala Lumpur sehingga tahun 1978 dan akhirnya mendiami rumah beliau sendiri di Taman Tun Dr Ismail.

PENYUNTING BERITA DI RADIO MALAYSIA

Zain Abu telah menyumbangkan khidmatnya kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO) dari lewat 50-an sehinggalah ke pertengahan 60-an, di beberapa lokasi termasuklah Bukit Besi, Bukit Ibam dan Rompin. Menariknya, beliau telah meninggalkan kerjayanya di EMMCO di saat produktiviti EMMCO ketika itu sedang memuncak. Hal ini bertitik tolak dari naluri beliau yang semakin cenderung ke arah bidang kewartawanan, di mana bakat beliau telah terlatih dan minat beliau semakin menggunung. EMMCO telah memberhentikan operasinya pada bulan Oktober, 1970.

Kerjaya Zain Abu dalam penyiaran radio sebagai penyunting berita dengan Radio Malaya bermula di Kuantan, Pahang. Di Kuantan, isterinya turut sempat bertugas sebagai juruhebah radio buat seketika. Pada sekitar tahun 1963, beliau dipindahkan ke ibu pejabat Radio Malaysia, Kuala Lumpur yang ketika itu ditempatkan di Federal House. Antara kenalan rapat beliau ialah Zainal Alam dan Datuk S.M. Salim. Kebetulan pula, Datuk S. M. Salim adalah jiran semasa di Petaling Jaya.

Zain Abu sentiasa mengikuti dan terbabit dalam acara-acara kebangsaan mahupun antarabangsa. Pada tahun 1955, sebelum berkhidmat dengan Radio Malaya lagi, beliau telah berada di lokasi di Baling, Kedah untuk melaporkan peristiwa Tunku Abdul Rahman menyeru kepada Chin Peng untuk menyerah kalah. Apabila beliau ingin menemubual Chin Peng, mikrofon di tangan beliau dirampas kasar oleh konco Chin Peng. Pada pertengahan tahun 2000, ketika beliau ditanya berkenaan isu kepulangan Chin Peng ke Malaysia, Zain Abu dengan ringkas, jelas dan tanpa ragu-ragu menyatakan, “Chin Peng harus ditembak mati.”

Selain itu, beliau telah turut menemuramah tokoh sejarah Sarawak, Abang Haji Openg, semasa pembentukan Persekutuan Malaysia serta meliputi peristiwa 13 Mei, 1969 secara meluas. Antara portfolio kewartawanannya di peringkat antarabangsa termasuklah Sidang Kemuncak (Islamic Summit Conference) Pertubuhan Negara-negara Islam (Organisation of the Islamic Cooperation (OIC)) di Lahore, Pakistan pada tahun 1974 dan Mekah dan Ta’if, Saudi Arabia pada tahun 1981.

Lawatan rasmi Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-tiga, ke Turki pada tahun 1980 juga telah diliputi oleh Zain Abu. Secara kebetulan pula, sebelum itu, Zain Abu telah sempat bersua dengan bapa Tun Hussein Onn, Dato’ Sir Onn bin Jaafar yang juga seorang wartawan, semasa beliau giat bercampur dengan Haji Othman di kalangan rakan-rakan politik.

Walaupun beliau lebih dikenali sebagai penyunting berita, Zain Abu sempat ditugaskan untuk menyampaikan rancangan “Arena Sukan” buat seketika setiap petang Sabtu, iaitu sekitar tahun 1959, sebelum tugasnya diambil alih oleh Datuk Rahim Razali, salah seorang pengacara berita sukan tersohor di Malaysia.

Zain Abu pernah menyebut bahawa beliau terbabit dalam penulisan lirik untuk “Polis Sedia Berkhidmat,” iaitu lagu rasmi angkatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Melainkan ada pihak yang dapat mempertikai kesahihan kenyataan beliau ini, kenyataan ini akan dianggap sahih dan beliau merupakan penulis rasmi lagu terbabit kerana ketiadaan sebarang catatan rasmi yang mendakwa sebaliknya). Kreativiti dan bakat penulisan lirik beliau tidak terhenti di situ. Beliau juga telah menulis lirik “Perkumpulan Perempuan” untuk lagu rasmi Institut Wanita (Women’s Institute), Persekutuan Tanah Melayu.

MINAT DAN HOBI

Zain Abu merupakan seorang yang celik secara teknikalnya. Beliau berjiwa kreatif dalam bidang fotografi dan sinematografi. Beliau telah merakam keluarganya menggunakan kamera filem 8mm dan akan menghimpun ahli keluargnya untuk tayangan khas yang sentiasa menyeronokkan.

Asal-usul beliau sebagai ‘anak kampung’ turut menjurus minat beliau dalam kegiatan hortikultur dan bercucuk tanam, suatu minat yang malang sekali tidak menurun kepada anak-anak beliau. Beliau cukup gemar  bereksperimentasi dengan pelbagai jenis spesis buah-buahan yang baru, dengan dorongan dan perkongsian minat di kalangan teman-teman beliau di Kolej Pertanian Malaya di Serdang, Selangor.

Zain Abu pernah cuba berkecimpung dalam perusahaan telur dan ayam ternak pada tahun 60-an. Sebaik sahaja projek beliau itu mula membuahkan bibit-bibit hasil, beliau terpaksa meninggalkan projek itu kerana tanah Haji Othman di daerah Petaling yang digunakan untuk penternakan ketika itu terpaksa dijual. Beliau juga mencuba menternak ikan tetapi perusahaan perikanannya juga terpaksa dihentikan. Jelas sekali beliau tidak akan melepaskan apa sahaja peluang yang berkaitan dengan tanah.

PERAWAKAN YANG UNIK DAN TERSENDIRI

Sebagai seorang wartawan, Zain Abu merupakan individu yang cukup mementingkan kesempurnaan yang luar biasa. Beliau cukup teliti dan peka dalam penggunaan bahasa, yakni bahasa Melayu mahupun Inggeris. Tidak sekalipun beliau duduk beramai-ramai bersama ahli keluarga menonton televisyen di ruang tamu, tanpa menyuarakan ketidak puasan hatinya terhadap kepincangan penggunaan tatabahasa oleh penyampai berita,  berita sukan, dan pelakon drama. Beliau sering mengambil peluang membetulkan kesilapan-kesilapan itu sambil menjelaskan penggunaan yang betul kepada mereka di sekelilingnya.

Ketika Malaysia beralih kepada penggunaan Bahasa Baku, beliau berpendapat bahawa negara ini telah tidak menggunakannya dengan betul. Ejaan baru hanyalah baik sebagai langkah memudahkan bahasa. Itu tidak bermakna sebutan Bahasa Melayu perlu ditukarkan meniru Bahasa Indonesia. Menurut beliau lagi, maksud sebenar Bahasa Baku itu bukanlah terletak pada cara sebutan, tetapi pada penekanan terhadap penggunaan bahasa, tatabahasa dan ejaan yang betul.

Beliau pernah menegur kaedah penggunaan huruf ‘RM’ di kalangan rakyat Malaysia untuk menggambarkan unit mata wang bagi Ringgit Malaysia. Hujahnya, Amerika tidak pernah menyebut ‘USD’ di hadapan 1,000 untuk menyatakan seribu Dollar, sepertimana Indonesia tidak menyebut ‘Rp’ sebelum 10,000 untuk menggambarkan mata wang Indonesia 10,000 Rupiah. Menurut beliau, abjad RM sekadar simbol untuk membezakan Ringgit Malaysia dengan matawang lain. Beliau menyarankan, sebagai contoh, sebutan betul adalah ‘1,000 Ringgit’ dan bukannya ‘1,000 RM’.

Begitu juga dengan penamaan bandar yang baru dibangunkan di daerah Kajang, Selangor, yang berdekatan dengan Bangi atau Bangi Lama. Bandar itu sepatutnya di namakan Bandar Bangi Baru dan bukan Bandar Baru Bangi. Hujahnya mudah sahaja; kalau ada bandar Bangi Lama, maka sepatutnya adalah bandar Bangi Baru, dan bukan Bandar Baru Bangi.

Beliau pernah menulis surat kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1985 berkaitan dengan penyalahgunaan istilah oleh DBP. DBP mengaku  penggunaan istilah ‘kereta roda’ dan ‘penyusunan teknik’ untuk ‘wheelchair’ dan ‘technical depreciation’ masing-masing adalah kesilapan teknik. DBP berjanji akan memperbaiki penggunaan istilah ‘kerusi roda’ dan ‘penyusutan teknik’ dalam senarai baru apabila dibukukan. Beliau juga mempertikaikan penggunaan istilah ‘kabinet’ untuk ‘jemaah menteri’, ‘detektif’ untuk ‘mata-mata gelap’ antara lain. Begitulah telitinya, penyunting berita ini.

Zain Abu cukup gemar dengan peristiwa-peristiwa bersejarah dunia. Pada 20 Julai, 1969, beliau membawa anak-anaknya ke Bangunan AIA di Jalan Ampang, untuk menonton liputan secara langsung pendaratan Neil Armstrong di bulan. Ketika bertugas untuk liputan rancangan “Arena Sukan” di TV Malaysia, anak-anaknya akan turut dibawa bersama, menonton acara golf, lumba kereta di Litar Batu Tiga berhampiran Shah Alam dan tidak ketinggalan, Piala Merdeka di Stadium Merdeka.

Beliau juga peminat radio bergelombang pendek (shortwave), menala stesen-stesen radio asing pada waktu malam, seperti BBC dan VOA. Kesungguhan minat beliau terhadap radio, berita dan media pengetahuan amat memberi kesan dalam pendidikan dan perawakan anak-anak beliau. Rumah mereka langsung tidak pernah kekurangan bahan-bahan bacaan, sama ada dalam bentuk surat khabar, majalah, ensiklopedia, mahupun buku-buku.

PERSARAAN

Zain Abu bersara pada tahun 1978 sebagai penyunting berita kanan, tetapi diminta terus bekerja secara kontrak dengan Radio Televisyen Malaysia sehingga usianya mencecah 70 tahun. Hal ini membuka peluang untuk beliau menyambung kembali hobi hortikultur beliau dengan lebih serius. Dua bidang tanah di Telok dan Pulau Indah tinggalan kedua orang tuanya gigih diusahakan; dengan kelapa sawit, nenas, dan pokok gaharu. Jelas sekali perwatakan beliau yang lazimnya disebut oleh orang Melayu sebagai tidak boleh duduk diam.

Sepulangnya dari mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci bersama isterinya pada tahun 1992, Haji Zain, atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Zain oleh sahabat-sahabat qariahnya, menjadi semakin cenderung dan rapat dengan Masjid Al-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur. Masjid yang pada sejarah awalnya merupakan masjid yang ringkas dan sederhana pada tahun 70-an, kini merupakan salah sebuah masjid yang sangat terkenal dan aktif di kawasan terbabit. Zain Abu merupakan salah seorang pengikut utama halaqah-halaqah pengajian ‘tafsir’, komentar Al-Quran serta pembelajaran bahasa Arab. ‘Usrah’ beliau bermula sejurus usai solat Subuh dan berakhir dengan sesi teh tarik beserta roti canai di gerai-gerai mamak berdekatan. Waktu malam beliau turut dihabiskan di masjid.

Beliau meninggalkan kehidupan duniawi yang sementara ini untuk bertemu Yang Maha Esa pada 1 DzulQaedah, 1430 Hijrah (bersamaan 20 Oktober, 2009) dalam usia 86 tahun. Pemergian beliau pada jam 10.00 pagi selepas hampir 4-6 bulan berjuang menempuhi penyakit telah disaksikan oleh isteri beliau, Hajah Siti Hajar, di rumah anak perempuannya, Faizah, di Sentul, Kuala Lumpur. Pemergian tersebut cukup sukar untuk Hajah Siti Hajar yang terpaksa melepaskan pergi, suami tercinta dan pasangan hidupnya. Tiga tahun kemudian pada 1 Rabiul Awal, 1434 Hijrah (bersamaan 13 Januari, 2013) beliau menghembuskan nafas terakhirnya menuruti Allahyarham suaminya, pada usia 83 tahun, di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Allahyarham Haji Mohd. Zain Abu dan Allahyarham Hajah Siti Hajar telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Mereka meninggalkan enam orang cahaya mata, 33 orang cucu, dan 9 orang cicit.  Mereka berdua telah menjalani kehidupan rumah tangga yang bersederhana tetapi cukup bahagia, selama 61 tahun. Semoga Allah memberkati roh mereka dan meletakkan mereka di kalangan orang-orang yang bertaqwa di Syurga-Nya, al-JannatunNaim. Al-Fatihah. Amiin.

4,786 total views, 3 views today

Share!

    Check Also

    20130427_103557

    Higher royalty versus state ownership of Petronas

    The oil royalty debacle is perhaps one of the popular components for both Barisan Nasional …