Ketidaksamarataan – Anas Alam Faizli https://aafaizli.com Magna Est Veritas Prae Velabit - The Truth is Mighty and will always Prevail! Wed, 23 Oct 2013 13:10:32 +0000 en-US hourly 1 https://wordpress.org/?v=5.4.2 Malaysia: Negara Berpendapatan Tinggi, Rakyat Berpendapatan Rendah https://aafaizli.com/malaysia-negara-berpendapatan-tinggi-rakyat-berpendapatan-rendah/ https://aafaizli.com/malaysia-negara-berpendapatan-tinggi-rakyat-berpendapatan-rendah/#comments Tue, 22 Oct 2013 16:00:54 +0000 http://aafaizli.com/?p=977 Struktur semasa sosio ekonomi Malaysia boleh disimpulkan dalam empat perkataan, “Negara Kaya, Rakyat Miskin.” Malaysia dirahmati dengan sumber alam semulajadi yang pelbagai dengan petroleum sebagai sumber yang paling bernilai. Diberkati dengan tanah subur, hasil mahsul, dan populasi golongan belia yang besar, Malaysia mempunyai semua ramuan penting yang diperlukan untuk jauh maju kehadapan. Bagaimanakah sebuah negara kecil dengan rakyat sekecil 30 juta orang akhirnya mempunyai jurang pendapatan antara paling lebar di rantau ini? Beza kaya dan miskin paling luas! Inilah persoalannya. Apakah yang telah berlaku?

DEB: Niat Yang Mulia, Awalnya

DEB ialah dasar gah yang digerakkan oleh dua iltizam: tindakan proaktif kita untuk mula membangunkan sebuah negara yang baru merdeka, dan reaksi kita kepada sistem pecah dan perintah British.

Buku teks mencatatkan yang DEB mempunyai strategi serampang dua mata: penghapusan kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat.  Tetapi budaya popular dan artikulasi massa tidak boleh mengelak dengan mengaitkan DEB dengan agenda Bumiputera yang sangat mendalam terbenam dalam terasnya, yang mana menyasarkan pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam ekonomi Malaysia.

Tetapi “perkongsian ekonomi” di sini rupa-rupanya mempunyai konotasi dan implikasi yang lebih luas. Ia merentasi daripada aset dan pemilikan ekuiti, sehinggalah kepada perolehan kontrak, kuota pendidikan, dan dasar pekerjaan. Bumiputera ialah kumpulan etnik termiskin. Maka ideanya ialah untuk melakukan diskriminasi positif untuk Bumiputera, meletakkan mereka dalam landasan yang sepatutnya, seterusnya menjayakan pemilikan ekuiti yang lebih tinggi dalam ekonomi.  Dan kita memulakan perjalanan yang memilukan dalam perjuangan sebuah tindakan afirmatif.

Seiring dengan masa dan pelbagai rancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia yang telah dilaksanakan, perubahan yang menakjubkan telah berlaku. Bumiputera dan semua rakyat Malaysia, secara umumnya, pada masa kini memiliki lebih banyak aset daripada ibubapa mereka. Kelas pertengahan muncul dan berkembang. Tahap kemiskinan, diukur daripada ukuran tersendiri, telah jatuh daripada 49.1% kepada 1.7% seperti yang dilaporkan dalam Kajian Pendapatan Isirumah 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Bencana “Trickle-Down”

Malangnya, pada tahun 1990 sasaran ekuiti masih jauh untuk dicapai. Masa sudah semakin suntuk dan  Malaysia mengambil jalan mudah dengan rancangan kesan “trickledown” yang tidak di rancang dengan sempurna. Malaysia melakukan cara mudah dengan mengayakan dan memperkasakan beberapa orang Bumiputera yang akan menjadi usahawan berjaya dan pemilik aset  dan percaya kesan  penggandaan berterusan, yang akan mengalir dan memberi kesan kepada keseluruhan komuniti Bumiputera. Ketika itu dipercayai,  falsafah untuk kesan “trickledown”  tidak akan dapat dielakkan.

Kesan “trickledown” tidak berkesan dahulu dan tidak juga berkesan pada masa sekarang dan akan datang. Malah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri mengakuinya dalam temubual baru-baru ini dengan Martin Soong daripada CNBC. Hakikatnya, ia memperluaskan lagi jurang kaya dan miskin dalam strata rakyat Malaysia.  Ia telah menjadi sesuatu yang kita berpaut kepadanya sekuat  mungkin dan masih mempercayainya sebagai kebenaran.

Belum lagi berjaya dengan matlamat lama, kita mengorak langkah dengan mimpi baru, iaitu sebuah “Impian Malaysia” yang baru. Sudah tentu, secara semula jadi langkah seterusnya adalah untuk memperkembang dan memperbesarkan saiz kelas menengah yang sudah ada. Soalnya, adakah ini benar berlaku?

Satu Lagi Sasaran Tidak Tercapai?

Impian baru ini adalah mimpi dan cita-cita supaya Malaysia mencapai status Negara Berpendapatan Tinggi.  Ini akan menjadi kenyataan dengan mencapai pendapatan per kapita USD$15,000 menjelang tahun 2020. Untuk mereka yang tidak terlatih dalam bidang ekonomi, jangan khuatir. Ia hanya bermakna yang Pendapatan Negara Kasar (GNI) negara ini, yang diukur daripada pengeluaran dalam negara dijumlahkan dengan pendapatan tetap daripada luar negara, yang apabila dibahagikan dengan jumlah penduduk negara ini, mestilah bernilai USD$15,000. Buat masa ini, Malaysia berada pada tahap USD$9,970 dan kita telah dijamin yang sasaran ini boleh dicapai sekitar tahun 2017-2018.

Abaikan sahaja yang kebanyakan isi rumah yang relatifnya berpendapatan rendah masih menemukan diri mereka dalam situasi yang tidak banyak berubah. Abaikan sahaja yang isirumah Bumiputera masih berada dalam kelompok 40 peratus terbawah dalam strata isirumah di Malaysia. Abaikan sahaja yang walaupun kebanyakkan pendapatan negara ini pada tahun 2020 berkelompok dan berfokus hanya kepada 100 orang di negara ini, kita masih boleh mencapai sasaran USD$15,000 per kapita kerana ia dibahagikan secara kasar dengan keseluruhan populasi. Sasaran ini hanyalah satu nombor yang tiada makna jika relatifnya rakyat susah!

Indikator yang digunakan untuk mengukur konsep Negara Berpendapatan Tinggi sangat bermasalah. Banyak pihak dalam komuniti penyelidikan dan gerakan awam sudah menyuarakan kebimbangan mereka kepada kaedah yang digunakan untuk mengukur pendapatan menggunakan Dollar Amerika. Ia bukanlah matawang yang majoriti rakyat Malaysia perolehi dan gunakan. Jadi, apabila Ringgit lebih kukuh daripada Dollar Amerika tahun lepas, kita mempunyai seribu alasan untuk mempersoalkan adakah GNI per kapita yang diukur dalam terma Dollar Amerika benar-benar melambangkan pertumbuhan sebenar per kapita, dan sama ada sasaran ini sebenarnya dapat dicapai.

Sungguhpun begitu, walaupun kita meletakkan soal pertukaran matawang ini ditepi, di sini izinkan saya buktikan mengapa sasaran USD$15,000 per kapita tidak boleh menjadi “impian”  bersama yang dapat dibanggakan sepenuhnya, jika dicapai kelak.

Di bawah ialah di antara sebab-musababnya:

Negara Kaya Raya, Rakyat Papa Kedana

Pertamanya, majoriti isirumah rakyat Malaysia, yakni hampir 90 peratus pendapatan mereka hanya bersumberkan daripada upah dan gaji, termasuklah yang bekerja sendiri. Malah kepada sebahagian yang mampu memiliki sedikit aset, hakikat ini masih benar. Apatah lagi bagi mereka yang langsung tidak memilik aset, dan seterusnya tidak memperolehi pendapatan daripada aset yang dimiliki.

Perlu diingatkan bahawa KDNK Malaysia (jika diukur menggunakan kaedah pendapatan) akan dipecahkan kepada beberapa bahagian: 28 peratus upah dan gaji, 67 peratus keuntungan perniagaan (termasuklah pendapatan bersama) dan 5 peratus cukai dan subsidi. Apakah yang dimaksudkan dengan ini? Ia bermakna daripada keseluruhan KDNK, hanya 28 peratus terhasil daripada sumbangan upah dah gaji populasi Malaysia yang bekerja. Ini adalah sangat rendah!

Sepanjang 15 tahun yang lepas, sumbangan daripada upah dan gaji kepada KDNK Malaysia berolak-alik di antara 26 hingga 32 peratus dan satu-satunya sebab ia mencapai 32 peratus ialah kerana kegawatan ekonomi 2008 apabila keuntungan syarikat berkurangan. Di Singapura, angka upah dan gaji yang menyumbang kepada KDNK sudah setinggi 42 peratus pada tahun 1997.

Di negara-negara maju seperti Korea, Kanada, UK dan Jepun, jumlah upah dan gaji masing-masing ialah sebanyak 46 peratus, 51 peratus, 55 peratus dan 52 peratus. Rakyat Malaysia tidak memperolehi pecahan besar daripada pengeluaran negara yang masuk ke dalam poket mereka! Perkara ini menjadi lebih buruk; dokumen ETP (A Roadmap for Malaysia: Chapter 2) sendiri meletakkan ukuran yang meramalkan upah di dalam KDNK untuk NKEA akan jatuh sehingga 21 peratus pada tahun 2020! Apa yang kita cuba hebahkan dan apakah keutamaan kita yang sebenarnya?

Malah, sepanjang 15 tahun lepas, gaji untuk pekerja di Malaysia telah terkebelakang dengan pengeluaran kita. Kadar pertumbuhan pengeluaran adalah selari dengan kadar pertumbuhan upah sekitar 1998, tetapi selepas itu perlahan-lahan ia jatuh ketinggalan di belakang.  Sehingga tahun lepas, pengeluaran dalam sektor pembuatan ialah 45 peratus melebihi upah. Ia boleh diterjemahkan secara kasar yang pekerja kita menerima gaji kurang daripada sepatutnya dalam kadar 45 peratus. Semua ini menunjukkan yang GNI per kapita tidak mewakili dengan baik pendapatan majoriti rakyat Malaysia yang menikmatinya sebagai upah dan gaji. Malah tiada makna apa-pun yang relevan dengan rakyat umum.

Keduanya, lebih daripada 90% tenaga kerja penerima upah tidakpun menerima gaji yang banyak. Hanya 11.0 peratus daripada pendapatan negara diterima daripada cukai pendapatan individu  dan hanya 1.0 juta daripada 10.8 juta tenaga kerja layak untuk membayar cukai. KWSP melaporkan yang 78.6% daripada penyumbangnya memperolehi RM 3,000 sebulan atau kurang. Ini sekali lagi menunjukkan betapa rendahnya pendapatan majoriti rakyat Malaysia pada tahap individu. Jadi apakah Negara Berpendapatan Tinggi yang kita ingin capai dalam masa beberapa tahun akan datang? Adakah sebuah Negara Berpendapatan Tinggi dengan majoriti rakyatnya berpendapatan rendah?

Ketiganya, satu lagi isu besar ialah kuasa membeli rakyat.  Pendapatan tinggi semata-mata tidak semestinya diterjemahkan ke dalam kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik sekiranya pendapatan tinggi tidak boleh memberi rakyat kuasa membeli yang tinggi. Analisis mudah akan menunjukkan bagaimana seorang graduan pada 1980 mempunyai kuasa membeli lebih tinggi dibandingkan dengan graduan pada hari ini.  Dengan anggaran gaji asas RM1,000 seorang graduan boleh memiliki sebuah Opel Gemini berharga RM12,400 atau 12 bulan gajinya dan membeli sebuah rumah yang baik, mungkin di Taman Tun, berharga RM62,000 atau 56 bulan gajinya.

Hari ini, dengan bayaran pokok sebanyak RM2,500 atau hanya 2.5 peratus tinggi daripada graduan tahun 1980, sebuah Mazda 6 sekarang berharga RM178,000 atau lebih kurang 71 bulan gaji bulanannya dan sebuah rumah yang baik jauh di luar Kuala Lumpur, katakan di Nilai yang berharga RM 350,000 atau 140 bulan gaji bulanannya.  Kos sara hidup telah meningkat dengan sangat tidak masuk akal dan kuasa membeli seorang pekerja secara puratanya telah berkurangan dengan sangat nyata.

Keempat ialah isu jurang kaya dan miskin, dan sehingga kini isu ini ialah hujah terkuat untuk menentang sasaran Negara Berpendapatan Tinggi USD $15,000. Ada sebab mengapa ahli akademik, kumpulan masyarakat sivil dan rakyat  melaungkan sepanduk ketidaksamarataan; Malaysia antara negara yang tinggi jurang kaya dan miskin di rantau ini. Pada 3 Ogos 2013, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni mengakui perkara ini.

Pertumbuhan pendapatan diukur daripada tahun 1970 telah menunjukkan yang 20 peratus kelompok teratas jauh meninggalkan kelas pertengahan yang mewakili sebanyak 40 peratus dan 40 peratus selebihnya tergolong dalam kelompok terbawah isi rumah, sementara jurang pendapatan antara mereka secara puratanya membesar. Pekali GINI, yang mengukur darjah jurang antara pendapatan tertinggi dan pendapatan terendah, kekal tinggi di antara 0.43 sehingga 0.44 tanpa perubahan sepanjang 20 tahun di Malaysia.

Memperolehi RM10,000 sebulan dalam sebuah isi rumah sudah pun meletakkan anda dalam kedudukan 4 peratus teratas dalam isi rumah Malaysia, dan secara asasnya tergolong dalam kumpulan yang sama dengan kelompok hartawan Malaysia seperti Ananda Krishnan. 73 peratus isi rumah memperolehi kurang daripada RM 5,000, dengan purata dua orang dewasa yang bekerja untuk setiap isi rumah. Ini sahaja sudah menunjukkan betapa luasnya jurang yang wujud.  Keadaan ini, walaupun membolehkan sasaran USD $15,000 Negara Berpendapatan Tinggi dicapai, ia hanyalah dalam bentuk angka kuantiti terpilih, tetapi mempunyai kualiti yang sangat lemah dalam semangat perkongsian kekayaan dan isi keadilannya.

Bagaimana ketidaksamarataan yang tinggi dan berterusan ini berlaku? Sumbangan terbesar ialah kegagalan “kesan trickledown”. Pengayaan berterusan kepada beberapa pihak terpilih secara berterusan meluaskan lagi jurang dalam kitaran yang panjang dan berulang. Ketidaksamarataan dalam sistem pendidikan kita juga menyumbang kepada 77 peratus tenaga kerja Malaysia hanya berkelulusan SPM dan ke bawah, seterusnya menyebabkan kadar gaji yang rendah.

Hanya kerana keuntungan, sektor perniagaan tidak bersedia untuk melabur dalam produktiviti dan latihan orang tempatan.  Kita memuaskan komunti peniaga dengan membenarkan kemasukan besar-besaran pekerja asing, terutama di kilang, untuk menggantikan pekerja tempatan yang relatifnya lebih mahal. Mitos bahawa orang tempatan memilih pekerjaan dan tidak bersedia untuk bekerja di kilang kemudiannya dibesar-besarkan, walaupun orang tempatan bersedia untuk bekerja di kilang sekiranya di upah sewajarnya. Ini terbukti benar dalam industri minyak dan gas; pekerja yang bekerja keras semuanya orang Malaysia, walaupun terpaksa membanting tulang di bawah bahang terik matahari, kerana ganjarannya besar.

Jadi Apakah Sebenarnya Impian Rakyat Malaysia?

Kita tidak ada satupun! Tetapi jika kita merancang untuk mempunyai satu impian bersama, kita tidak boleh meninggalkan pekerja biasa di belakang, kelompok yang membentuk lebih 80 peratus daripada populasi Malaysia. Kita memerlukan impian yang  merangkumi dan menyeluruh serta menitik beratkan kualiti kehidupan kepada semua rakyat Malaysia, bukan hanya kelompok terpilih.

Ketidaksamarataan pendapatan ialah ancaman serius kepada harapan kita untuk membentuk sebuah negara maju.  Satu ironi yang besar sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak merasai pengalaman status pendapatan tinggi, secara nyata, sebaik sahaja kita mencapai sasaran USD$15,000. Bagaimana kita hendak mengisytiharkan diri sebagai berpendapatan tinggi apabila kesan ketidaksamarataan seperti jenayah, penggangguran, kesihatan dan kebejatan sosial serta penurunan kebajikan sosial menjadi lebih ketara? Malah jika kita memang mencapai tahap pendapatan tinggi, masalah yang timbul daripada ketidaksamarataan menghasilkan persoalan serius tentang kemandirian status pendapatan tinggi.

Selagi mana kita tidak bersatu, bersama-sama mengatakan tidak kepada ketidaksamarataan secara menyeluruh, dan membantu meningkatkan kelompok 60 peratus terbawah yang berpotensi menjadi penjana ekonomi yang signifikan, masalah ini tidak akan selesai dengan sendirinya dan akan kembali menghantui kita semua. Bergerak ke hadapan, dasar kita sewajarnya dibentuk dan dibina berasaskan pemahaman ini. Kita tidak akan mencadangkan GST yang menekan rakyat untuk meningkatkan sumber pendapatan jika kita memahami fakta ini. Sebaliknya kita akan cuba meningkatkan pendapatan daripada sumber lain yang tidak akan menyakiti majoriti rakyat seperti cukai warisan, cukai progresif dan cukai laba modal.

Tetapi hujahan perkara-perkara itu, ialah untuk hari yang lain.

“Perlu ada dalam warga bukannya kemiskinan melata tidak juga kekayaan menggunung, kerana keduanya adalah usaha keras kejahatan.” (Plato)

]]> https://aafaizli.com/malaysia-negara-berpendapatan-tinggi-rakyat-berpendapatan-rendah/feed/ 2 Mitos Si Kaya dan Si Miskin https://aafaizli.com/mitos-si-kaya-dan-si-miskin/ https://aafaizli.com/mitos-si-kaya-dan-si-miskin/#comments Fri, 22 Mar 2013 03:55:47 +0000 http://aafaizli.com/?p=513 “ Mereka miskin kerana mereka pemalas”

“Ayah dia Tan Sri”

“Dia kenal orang dalam”

“Aku boleh berdiri seperti sekarang kerana usaha kuat aku selama ini”

Luahan-luahan ini biasa didengari dalam ‘borak kedai kopi’, setiap kali topik kaya dan miskin dibincangkan. Ramai pantas menyamakan isu jurang pendapatan yang tidak sama rata sebagai isu kebajikan atau sosialis. Ini berlaku di mana-mana, sedihnya termasuklah golongan ‘kelas menengah’ Malaysia, yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya penerima pendapatan dan pemilik kekayaan dalam kelompok teratas. Isi rumah yang memperolehi RM 10,000 ke atas sebulan sudah pun cukup meletakkan mereka dalam golongan 4% paling elit di Malaysia. Hakikatnya, ketika suara-suara kepartian terus menerus membincangkan wacana ketidaksamarataan bernada perkauman, Malaysia tanpa disedari telah bergerak ke dalam kancah peperangan baru, yang berkaitan dengan ketidaksamarataan di antara orang-orang sekaum, iaitu perang perbedaan kelas dan tingkat pendapatan.

Sering dihujahkan bahawa orang miskin dan berpendapatan rendah wujud disebabkan mereka malas, tidak bekerja keras dan sering mengharapkan bantuan. Ini tidak benar. Ramai yang tidak bernasib baik, dilahirkan dalam keluarga yang kurang pendidikan dan kurang kemahiran untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemiskinan. Ada yang dilahirkan dengan kecacatan ataupun penyakit kekal, manakala ada yang hidup di kawasan yang sering ditimpa musibah dan merbahaya.

Di satu wajah kehidupan lain pula, kita melihat ahli-ahli perniagaan tidak berkompetensi yang dianak angkatkan oleh “ayahanda-ayahanda” politik, pewaris-pewaris kekayaan dan estet keluarga, serta individu yang bernasib baik ditempatkan dalam industri mewah dengan pulangan lumayan. Kemalasan di sini tidak lagi menjadi isu. Orang kaya pun boleh jadi malas!

Ramai yang tidak berhak miskin, seperti mana juga ramai yang tidak layak menjadi kaya. Kes-kes di atas menggambarkan dengan jelas bahawa bukan semua kemiskinan ialah hasil daripada keengganan untuk bekerja keras, dan bukan semua kekayaan disebabkan oleh usaha dan penat lelah. Maka, perjuangan menentang ketidaksamarataan sebenarnya ialah perjuangan untuk menyamaratakan peluang bagi menghasilkan lebih keseimbangan, dan bukannya untuk menghasilkan kesamarataan dengan campurtangan yang merencatkan. Ini bukanlah perjuangan menentang orang kaya, tetapi perjuangan untuk membantu orang miskin.

Ada Apa dengan Ketidaksamarataan?

Ketidaksamarataan itu realiti, tidak kisahlah sejauh mana kita percaya dengan pekali GINI sebagai pengukurnya. Malah, perhatian kepada ketidaksamarataan banyak digerakkan oleh kesan ketidaksamarataan itu sendiri yang sudah menunjukkan taringnya, dan bukannya kebangkitan untuk mengelaknya.

Kita boleh melihat kesan ketidaksamarataan kepada masyarakat; seperti ketidaksamarataan kuasa, kesan kepada kadar peningkatan gaji, kesan kepada pertumbuhan, jenayah dan kualiti kehidupan secara amnya. Selagi mana jurang pendapatan dan ketidaksamarataan kekayaan kekal luas, dan pelaburan institusi awam dalam pendidikan, latihan, kebajikan kanak-kanak dan kemudahan awam terus berkurangan, cukai yang progresif dan tindakan afirmatif dalam bentuk tulen dan mengekalkan cita-cita murninya, wajar diberi ruang dalam pembentukan dasar dan polisi institusi awam. Keperluan golongan kaya dalam masyarakat yang berkongsi tanggungjawab membantu golongan miskin cukup kritikal; sebenarnya demi kepentingan mereka juga, kerana kesan-kesan negatif ketidaksamarataan yang tinggi akan dirasai oleh semua.

Salah Anggapan tentang Pasaran Bebas

Dalam mana-mana wacana ketidaksamarataan kekayaan dan kemiskinan, isu ‘pasaran bebas’ tentu sekali akan diketengahkan. Ciri asas kepada pasaran bebas dapat digambarkan dengan konsep “Invisible Hand” yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi kurun ke-18, Adam Smith. Konsep ini berpegang bahawa harga, pengedaran barangan, perkhidmatan, buruh, modal, tanah dan kemahiran manusia ditentukan oleh kuasa pasaran, atau ‘tangan’ yang tidak boleh di lihat secara fizikal. Penyokong sistem ini selalunya menentang peningkatan campur tangan kerajaan seperti derma, cukai, subsidi dan faedah. Ringkasnya, mereka percaya yang hanya pasaran yang dibenarkan bergerak bebas yang akan mencapai keseimbangan secara, seterusnya mencapai produktiviti dan kekayaan untuk negara.

Pasaran mempunyai elemen keadilan yang tidak dapat dinafi; kerja keras akan membolehkan kita mendapat pendapatan yang tinggi, dan kemalasan akan dihukum dengan kesusahan. Pekerjaan, barang-barangan dan tahap gaji ditentukan secara ‘semulajadi’ seperti yang dimintakan oleh masyarakat, berdasarkan keperluan dan keupayaan mereka dan bukan berdasarkan pengagihan kerajaan, yang cukup terdedah dengan situasi terlebih atau terkurang.

Walaupun begitu, keadilan dalam pasaran tidak boleh terlalu diagungkan. Kuasa pasaran boleh menjadi ‘ganas tanpa belas ihsan’, seperti yang dikatakan oleh Jeffrey Sachs. Kewujudan ruang kegagalan dalam pasaran tidak boleh dinafikan sama sekali kerana bukan semua manusia bermula daripada asas yang sama. Dalam sistem yang sama, titik permulaan seperti harta, peluang atau kesihatan fizikal berbeza antara satu sama lain. Ketika ada yang dapat keluar daripada kepompong pendapatan rendah dan berjaya, hasil daripada peluang keemasan, ada juga yang terus kekal terhimpit dalam kitaran ganas ini. Hakikatnya, bukan semua mendapat peluang keemasan.

Antagonis Percukaian

Antara penyokong tegar pasaran bebas ialah libertarian di mana etika asas mereka ialah kebebasan. Mereka mendukung idea bahawa hasil ekonomi terbaik hanya akan muncul apabila setiap individu dibiarkan bebas untuk bertindak dan hidup tanpa ada pihak berkuasa yang menetapkan aktiviti ekonomi mereka. Individu tidak perlu dan tidak bertanggungjawab kepada masyarakat, selain daripada menghormati kebebasan dan hak milik orang lain. Tanggungjawab kerajaan hanyalah untuk melaksanakan undang-undang dan mengekalkan keamanan bagi melindungi hak milik peribadi. Malah, pendukung libertarian yang ekstrem berpendapat bahawa tidak ada keperluan langsung untuk kerajaan membina prasarana, jalan atau lebuhraya; itu semua perlu ditentukan oleh kuasa pasaran kerana keperluannya sahaja sudah cukup untuk memastikan ada dalam pasaran yang akan membinanya.

Libertarian ialah ‘Antagonis Percukaian’. Antara banyak-banyak campurtangan kerajaan,  libertarian menentang kerajaan yang mempromosikan keadilan dan kecekapan menerusi sistem percukaian. Cukai dianggap satu bentuk peras ugut oleh kerajaan yang menghapuskan motivasi mereka yang berkerja kuat, dan berpotensi untuk memberi ganjaran kepada yang tidak berusaha.

Tuntasnya, pendukung libertarian berpegang kepada pasaran bebas sebagai satu-satunya cara untuk mengagihkan ekonomi secara demokratik; kebebasan gaya libertarian ialah penyelamat demokrasi dan penjamin kemakmuran. Oleh itu, usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin juga menjadi isu yang dibantah oleh kelompok libertarian.

Libertarian di Malaysia

Banyak pihak gemar meremehkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi kejayaan dasar ini hampir menghapuskan kemiskinan tidak dapat dinafikan; kejadian kemiskinan telah berkurang dari 50% pada 1970 kepada 3.8% kini. Golongan yang dahulunya miskin, kini membentuk kelas menengah dan profesional Malaysia.

Malangnya, tidak ada apa yang boleh dibanggakan daripada DEB selepas pertengahan tahun 90-an. Korupsi, ketirisan dan kepincangan integriti yang diperlihatkan dalam sistem kerajaan telah memburukkan lagi situasi. Mungkin kekecewaan terhadap institusi kerajaan inilah yang menyuburkan ideologi libertarian di Malaysia.

Adakah Libertarianism untuk Malaysia? Kita boleh mula mencari jawapannya dengan kembali kepada persoalan keperluan mewujudkan kerajaan. Ada persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan awam. Kita juga tidak memerlukan lebih daripada satu pasukan polis, bomba atau mahkamah undang-undang yang bersaing antara satu sama lain. Tanpa kerajaan, siapakah yang akan mengendalikan masalah alam sekitar, meregulasikan kebejatan moral, memastikan individu tidak mencederakan satu sama lain, dan melindungi kedaulatan rakyat Malaysia? Mengurangkan peranan sosok kerajaan mungkin boleh dipertimbangkan, tetapi menghapuskannya sama sekali boleh membawakan kemudaratan yang sukar dibayangkan.

Seterusnya kita tiba kepada isu kemiskinan pula. Niat baik libertarian yang terpuji yakni memberi ganjaran kepada usaha keras dan mengurangkan pengaruh kerajaan yang korup, sebenarnya turut membuka ruang yang terlalu luas kepada kesinambungan kekayaan bagi yang sudah kaya dan kitaran kemiskinan yang semakin ganas. Seperti yang dihujahkan, setiap manusia bermula dari latarbelakang yang berbeza. Yang kaya terus berada dalam kedudukan yang membenarkan mereka meluaskan empayar kekayaan mereka- malah mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka diberi peluang dan dibenarkan berbuat demikian! Lebih teruk lagi jika kekayaan datang dari pemerolehan dan penggarapan kekayaan yang sedia ada, dan bukannya lahir dari perekaan kekayaan yang baru dan  nilai tambah yang baru; lantas seterusnya meningkatkan saiz ekonomi.

Akhirnya, kuasa akan berada dalam genggaman sektor korporat dan golongan kaya, lantas memberikan mereka kuasa mempengaruhi dasar awam secara signifikan, bertentangan dengan hasrat murni asal ‘demokrasi’ libertarian tadi. Ahli lembaga pengarah dan ketua syarikat tidak dapat dipilih oleh rakyat, seperti kerajaan yang terlantik. Ketakutan libertarian terhadap negara sosialis yang akan menuju ke arah fasism sebenarnya juga boleh berlaku dalam pasaran bebas yang menyamar sebagai sektor korporat. Kegagalan pasaran bebas kemudiannya akan menjadi persoalan kegagalan politik, dan bukan sahaja persoalan kegagalan ekonomi!

Sekarang cuba bayangkan ‘pasaran bebas’ ini di Malaysia, dengan tahap ketidaksamarataan antara tertinggi di Asia (menurut ukuran GINI). Golongan miskin yang tidak berdaya akan terus ketinggalan dalam kuasa pasaran berbanding golongan kaya. Di sinilah keadaan di mana hasrat murni kebebasan ekonomi yang tulen seperti yang dicadangkan oleh libertarian tidak mampu menjanakan hasil yang diidamkan pada asalnya.

Manifesto Pakatan Rakyat: Manisfesto Yang Tepat Pada Masanya

Apapun pandangan politik kita, wajar kita bersetuju sedikit sebanyak dengan Manisfesto Pakatan Rakyat. Bagi menyelesaikan isu-isu asas ekonomi, empat teras utamanya selari dengan isu yang dihadapi oleh rakyat; yakni kebebasan rakyat, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat. Di Malaysia, statistik rasmi kemiskinan yang diterbitkan mungkin kelihatan rendah, tetapi secara relatifnya, ramai rakyat (terutamanya golongan miskin urban) boleh dikira miskin. Harga rumah yang meningkat dan taraf hidup yang semakin melonjak tinggi tidak selari dengan peningkatan gaji mengakibatkan rakyat biasa terhimpit dengan bebanan hutang yang banyak dan generasi-generasi yang terlahir mempunyai tahap produktiviti yang rendah disebabkan oleh kemahiran pendidikan yang terhad.

Bagi kerajaan untuk terus relevan dalam menahan serangan libertarian, campurtangan kerajaan perlu bersifat taktikal, dan bukannya haru biru mengikut keperluan meraih undi. Sekiranya pendirian kerajaan ialah pro-bisnes, ia perlu disandarkan bersama dengan jaringan keselamatan sosial untuk melibatkan isi rumah berpendapatan rendah dalam pencarian kekayaan dan pertumbuhan. Jika fokusnya ialah rakyat, perhatian perlu diberikan bagi memastikan kehendak perniagaan tidak dilupakan. Aspirasi begini mustahil untuk dicapai tanpa dasar seperti yang dicadangkan oleh Manifesto PR; peluasan peluang pendidikan (dengan memberi pendidikan tinggi percuma), pengurangan kos sara hidup (utiliti dan tol), subsidi terpilih, dan penekanan soal gaji dan pendapatan yang pada masa kini ditekan di tahap rendah oleh kerana kemasukan besar-besaran pekerja asing.

Kita belum melihat janji manifesto Barisan Nasional, tetapi sebagai permulaan, manifesto itu perlulah lebih diperincikan berbanding Manifesto 2008 yang umumnya berbunyi; ‘berjanji akan memacu ekonomi ke arah perkembangan’. Hakikatnya, memacukan ekonomi memanglah sudah menjadi tanggungjawab kerajaan!

Membangunkan Golongan Miskin: Menyamaratakan Padang Persaingan

Artikel ini bukan menyarankan kemunculan Robin Hood zaman moden, merompak golongan kaya yang bekerja keras dan memberikan harta mereka kepada yang miskin. Golongan kaya boleh memberikan bantuan dengan mengendong sedikit tanggungjawab untuk menaikkan tahap pendidikan, kesihatan dan kadar produktiviti golongan miskin. Bayangkan perbezaan sebuah komuniti yang mempunyai seorang hartawan bernilai RM40 bilion dan golongan miskin yang ramai, dengan sebuah komuniti yang mempunyai 400 isi rumah bernilai RM10 milion setiap satu. Sejauh mana kita tidak suka membayar cukai sekalipun, kita menerima kesahihannya selagi mana ia dijadikan undang-undang dan digunakan sebaiknya.

Hal ini juga tidak bermakna golongan miskin boleh goyang kaki. Peluang sudah diberikan, dan tiba masanya mereka menggunakannya. Ideanya ialah kek ekonomi yang lebih besar dan mewujudkan dan melahirkan nilai-nilai baru, yang Malaysia tidak dapat nikmati sekarang kerana golongan miskin yang berpotensi menghasilkannya tidak diberi peluang.

Dengan mengambil kira semua perkara ini, di manakah kedudukan libertarianism, cukai untuk golongan kaya dan perniagaan, dan pasaran bebas? Adakah peningkatan peranan kerajaan semestinya wenatijahkan korupsi? Negara kebajikan di rantau Skandinavia mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dalam Index Pembangunan Manusia (HDI). Pada masa yang sama, negara-negara terbabit adalah antara negara yang paling seimbang dengan tadbir urus dan kawalan terhadap korupsi terbaik, walaupun mempunyai saiz kerajaan yang lebih besar.

Kesudahannya, ekonomi yang sihat ialah ekonomi campuran, di mana kerajaan dan kuasa pasaran memainkan peranan masing-masing. Nisbah yang tepat memang terus menjadi tanda tanya; tetapi permulaan yang baik adalah dengan berhenti daripada terus-menerus menidakkan realiti ketidaksamarataan. Ketidaksamarataan bukanlah sekadar hobi para aktivis anti-kapitalis yang cemburu dengan sektor korporat dan golongan cendikiawan ekonomi pembangunan yang sibuk mencari isu sensasi untuk penyelidikan mereka.

Benar, campurtangan kerajaan pelbagai bentuk dan saiznya mungkin mampu merencatkan kemampuan, tetapi kefahaman ‘orang miskin malas dan orang kaya rajin’ itu hanyalah satu mitos. Ke arah Malaysia yang lebih baik, kita tiada pilihan selain untuk terus meningkatkan produktiviti dengan suatu fokus yang baru; iaitu penglibatan semua golongan dalam semua kelas dan tingkat ekonomi.

Jika tidak, Malaysia akan terinjak-injak bergerak ke hadapan, dengan membawa bersama bebanan kesan dasar-dasar awam yang silam.

‘Negarawan ialah mereka yang berfikir untuk generasi masa hadapan, manakala ahli politik pula ialah mereka yang hanya berfikir tentang pilihanraya akan datang’- Abraham Lincoln

]]>
https://aafaizli.com/mitos-si-kaya-dan-si-miskin/feed/ 1