Wednesday , 29th Mar, 2017
Home / Teach For The Needs / Ucapan Kata-Kata Aluan Konvensyen Pendidikan #TFTN2013
tmcc

Ucapan Kata-Kata Aluan Konvensyen Pendidikan #TFTN2013

Yang dihormati dif-dif jemputan yang terhormat, Dato Dr Siddiq Fadzil, YB Nurul Izzah Anwar, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon, Sdr Mat Luthfi, ahli lembaga pengarah TFTN, pengurus-pengurus TFTN, sukarelawan, mahasiswa, serta guru-guru yang dikasihi sekalian,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang turut bersama bagi menjayakan Konvensyen Pendidikan TFTN ke-2 ini yang bertemakan Pendidikan Cinta – Demi Masa Depan Malaysia. Tanpa usaha lelah dan keringat tenaga anda semua Konvensyen ini pasti tidak akan berjaya.

5 Disember yang lalu sejak tahun 1985, jutaan sukarelawan di seluruh dunia meraikan Hari Kesukarelawanan Antarabangsa sebagai satu token penghargaan ke atas sumbangan pelbagai badan para sukarelawan sedunia. Jika tidak terlambat, izinkan saya ucapkan tahniah kepada semua sukarelawan yang sering saya nukilkan sebagai kiriman dari langit. Sukarelawan yang menggadaikan jiwa raga mereka tanpa ragu dan keluhan. Sukarelawan yang menatang gelodak dan menenangkan jiwa anak-anak TFTN dan memberikan mereka kasih sayang. Saya tidak akan cuba menamakan satu-satu nama mereka kerana mereka terlalu ramai dan saya akan berlaku tidak adil. Tahniah semua.

Eurobarometer menganggarkan terdapat 140 juta orang sukarelawan sedunia yang menyumbangkan RM 1.3 trillion, iaitu kira-kira 7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia. Jika dikumpulkan, mereka akan membentuk negara berpenduduk kesembilan tertinggi di dunia. Kesukarelawanan merupakan kebiasaan di negara maju dan moden tetapi adalah satu perkara yang agak baru dan perlu diperkasa di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia.

Kesukarelawanan adalah asas kepada sesebuah masyarakat sivil yang dibentuk oleh sebuah kumpulan individu yang mempunyai minat, tujuan dan nilai yang sama. Dalam erti kata lain, masyarakat sivil ialah rakyat itu sendiri, digerakkan oleh kemahuan dan kesanggupan peribadi untuk berjuang demi kemaslahatan umum. Antara sebab TFTN ditubuhkan adalah untuk menyumbang ke arah ini.

Hadirin hadirat yang dimuliakan sekalian,

YB Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucaptama perasmiannya di majlis makan malam fundraising TFTN pada 5 Julai yang lalu mengatakan bahawa, “Sistem pendidikan negara kita gagal dan kita tidak boleh mempertahankannya lagi. Tambah beliau, satu tindakan yang ikhlas, berani dan radikal diperlukan bagi mempercepatkan proses pembaharuan dalam pelajaran dan pembelajaran. Ini dapat dilihat dengan hasil yang sudah berjaya dilaksanakan di China, Korea Selatan dan Finland. Tengku Razaleigh juga memuji dan bersetuju dengan usul TFTN untuk menjadikan Cinta sebagai pedagogi pendidikan dan juga asas kepada Falsafah Pendidikan Negara yang baru.

Sebelum jauh membincangkan isu pendidikan mari kita renung kedudukan Malaysia di mata dunia seperti yang sering diketengahkan oleh YB Nurul Izzah Anwar di Parlimen. Indeks Pendidikan United Nations meletakkan Malaysia di kedudukan 98 daripada 181 negara, satu kedudukan yang tidak boleh dibanggakan. Malaysia berada di tangga 52 daripada 65 negara dalam kajian “Programme for International Student Assessment” (PISA). Kajian “Trends in Mathematics and Science Study” (TIMSS) mencerminkan penurunan prestasi Matematik dan Sains yang mendadak sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999, 2004, 2007 dan terkini 2011.

Nombor-nombor antarabangsa ini jelas tidak mencerminkan kehebatan bilangan-bilangan A yang dilaporkan di dada akhbar di Malaysia setiap tahun. Persoalannya adakah pelajar-pelajar kita hanya jaguh kampung yang hebat menjawab skrip SPM mahupun PMR setelah berbulan-bulan melakukan latih tubi? Skor 11-A, masuk Universiti, dapat kerja bagus dan hidup senang lenang dan langsung tidak peduli kepada keperluan masyarakat yang terpinggir. Malanglah jika maksud pendidikan terhad hanya kepada definisi sesempit ini. Sekolah bukan penjara dan Universiti bukan Kilang!

Sahabat seperjuangan sekalian,

TFTN, ditubuhkan pada 1 Mac 2012 merupakan sebuah gerakan akar umbi berteraskan aktivisma pendidikan. TFTN terlibat dengan aktiviti pendidikan yang memberi fokus kepada murid terpinggir seperti anak yatim, anak miskin serta anak di kawasan pedalaman dengan harapan pendidikan sama rata dapat diberikan kepada semua. Kami membawa pedagogi tertindas memberi pendidikan. Hari ini kami disertai oleh 800 sukarelawan berdaftar, 300 ahli kelab Mahasiswa, 60 guru, 300 anak-anak TFTN dan 13 rumah anak yatim dan projek khas di seluruh negara.

Teach For The Needs tidak pernah merancang untuk mengambil alih tugas kerajaan tetapi melihat keperluan untuk memberikan sokongan sebagai kuasa ketiga dan menampung jurang sedia ada yang wujud akibat kekurangan daripada sektor kerajaan dan swasta.

TFTN berdiri dengan tiga tunggak utama – anak-anak TFTN, sukarelawan-sukarelawan TFTN, dan aspirasi sebagai kuasa ketiga pendidikan. Apa yang kami sedang lakukan di peringkat akar umbi ini walaupun mampu memberi kesan yang besar terhadap anak-anak terpinggir dan masyarakat, sebenarnya/hakikatnya hanyalah seolah-olah memadamkan api apabila berlaku kebakaran sahaja. Merawat tetapi tidak mencegah.  Maka, TFTN berhasrat dengan kuasa ketiga-lah dan turun ke padang kami akan dapat membuat perubahan dari semua arah – top bottom dan bottom top.

Tahun 2013 dimulakan dengan tema Cinta. TFTN melihat Falsafah Pendidikan Negara terlalu luas dan harus dikaji semula untuk menjadi lebih fokus. TFTN mencadangkan cinta sebagai pedagogi dan falsafah utama pendidikan untuk mengecapi tujuan murninya yakni memanusiakan manusia seperti yang pernah dibawa oleh Malik Bennabi bertentangan dengan kebanyakkan sistem pendidikan yang akan menjadikan manusia mesin atau robot.

Walaupun hakikat kehidupan global menghendakkan sistem pendidikan yang melahirkan ‘pekerja’ untuk pembangunan sebuah bangsa, kita mahukan proses ini berlaku seiring dengan pemupukan nilai-nilai agung manusiawi. Seharusnya, manusia yang penuh cinta dilahirkan, bukannya manusia mesin tanpa rasa dan budi.

Cinta bukan sesuatu yang “jiwang” semata-semata tetapi cinta mempunyai kuasa revolusi dalam mencorakkan rentak sebuah kemanusiaan. Che Guevara pernah mengatakan bahawa seorang revolusioner sebenar adalah seorang yang dipandukan oleh perasaan cinta yang hebat.

TFTN melihat jurang pendidikan yang maha dahsyat sedang berlaku. TFTN menyaksikan anak-anak yang tercicir, corot dalam pendidikan – yang terkesan daripada cabaran kesempitan ekonomi. Hanya satu solusi untuk jurang ekonomi, iaitu mengatasi masalah punca asalnya – iaitu jurang pendidikan. Melihat anak-anak yang tercicir ini, TFTN terus komited dan percaya dengan keperluan pendekatan melalui Cinta. Forum mengenai pendidikan Cinta diadakan dengan tujuan untuk menerangkan kepada umum maksud pedagogi Cinta. Menggunakan pengalaman kami di rumah-rumah anak yatim, pengalaman kasih sayang dan Cinta TFTN kami harap dapat dikongsi bersama.

Pengalaman mendewasakan, dan dalam perjuangan menarik tangan anak-anak yang lemas dalam sistem pendidikan robot, kami merasai kematangan sendiri dengan kejutan tidak terduga masih wujud dalam negara yang makmur ini. Dapatan daripada rumah-rumah anak yatim di mana anak-anak seusia 12 tahun masih tidak boleh membaca. Bagaimanakah nasib mereka apabila mengambil UPSR nanti? Maka, dengan satu iltizam dan semangat cintakan negara, TFTN bertungkus-lumus menggembleng tenaga turun ke semua rumah anak yatim, melakukan penilaian dan didapati secara purata 10 peratus memang tidak boleh membaca. Jika ada 60 orang anak, maka pastinya 6 orang tidak boleh membaca.

Kami terus menerus dikejutkan apabila statistik yang sama berlaku di sebuah sekolah di dalam bandar yang mana kelas darjah 6 – di suatu kelas yang tercorot – dihuni oleh 30 orang pelajar yang semuanya tidak boleh membaca! Maka TFTN terus melaksanakan program literasi, melancarkan Kempen Membaca digerakkan oleh pasukan literasi kami. Alhamdulillah setelah 6 bulan – anak-anak yang tidak boleh membaca ini mengejutkan kami dengan berjaya mendapat kedudukan antara yang terbaik di dalam kelas mereka.

10 peratus dan sebuah kelas. Mungkin ada yang mengatakan ini ialah kes terpencil yang tidak membuktikan apa-apa. Tetapi untuk anak-anak 10 peratus dan 30 orang ini,  ‘kes terpencil’ ini ialah kehidupan mereka. Apa baiknya sebuah sistem kalau masih ada yang terpinggir dan diabaikan atas nama ‘kes terpencil’?

Atas sebab itu “Kami percaya setiap insan mempunyai potensi jika diberi peluang”, seperti tema TFTN yang kami junjung selama ini.

Para sukarelawan dan mahasiswa sekalian,

Teach For The Needs menyorot ‘Pedagogi Pendidikan Cinta’ sebagai alternatif kepada pedagogi sedia ada untuk menampung evolusi falsafah dan teknik mengajar pada masa hadapan. Dengan rasa rendah diri, TFTN akan menyajikan lima ucaptama yang akan menyentuh bagaimana pendidikan memainkan peranan sebagai pembanteras kemiskinan, bagaimana sukarelawan boleh menjadi kuasa ketiga, apakah itu pendidikan masa hadapan, pendidikan cinta dan juga media sosial. Sesi petang akan membawa diskusi santai keindahan aktiviti sosial menyentuh isu anak muda dan masyarakat.

Tahun 2014 akan menyajikan cabaran yang lebih keras dan kasar untuk sebuah usaha yang begitu murni, dan kerana itulah, Kempen pedagogi Cinta akan terus dilaksanakan. Selain itu,  Kempen Membaca akan terus diperkasa dan TFTN akan memperkenalkan Kempen Fikir. Sekolah Falsafah TFTN akan bermula pada Januari 2014. Kami menawarkan tiga kemasukan setiap tahun. Kami akan memperkenalkan tokoh-tokoh falsafah dan setiap pelajar akan menyumbang ke arah penghasilan sebuah buku setiap kemasukan. Inilah tawaran kami bagi merancakkan pemikiran kritis buat tanah air.

TFTN juga telah menubuhkan dua sayap yang akan menjadi sumber kekuatan baru kami daripada Kelab Mahasiswa TFTN dan Kelab Guru TFTN yang akan dilancarkan pada hari ini. Adalah aspirasi saya mereka dapat terus membawa gerakan akar umbi, bergerak ke seluruh negara dan membawa misi pendidikan TFTN.

Hadirin yang dihormati,

Cuba bayangkan sejenak – jika penawar kepada barah sebenarnya telah wujud tetapi terperangkap dalam otak seorang anak Malaysia yang gagal mendapat peluang pendidikan. Bukankah itu suatu kerugian kepada tamadun manusia? Satu kerugian kepada kita? Kerana itu, kewajipan pendidikan ialah untuk semua, supaya tidak ada yang tercicir kerana tiada peluang, supaya tiada yang terus terjatuh dalam jurang buta huruf yang gelap gelita kerana tiada cahaya yang memandunya.

Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap masyarakat? Para sarjana dan intelek serta seluruh warga. Di atas pundak kita- lelaki, perempuan, tua, muda, guru dan bukan guru- tergalas sebuah tanggungjawab untuk masyarakat, daripada masyarakat. Semua harus bangkit dan sedia menjalankan kewajipan. Kita wajib memberi kesedaran dan panduan kepada rakyat! Bakat-bakat falsafah, sastera, sains dan segalanya harus digunakan sepenuhnya untuk mengajar, menulis serta membimbing masyarakat ke arah kesedaran! Demi pendidikan bersama.

Maka, saya menyeru semua sukarelawan, guru-guru dan mahasiswa yang hadir untuk terus membaca, memahami, berfikir dan bertindak. Memetik kata Ali Shariati, “tidak adalah gunanya jika kita ada 1,000 Aristotle pun jika tiada siapa yang bertindak.”

Aspirasi saya – TFTN dapat menjadi pembela anak-anak yang tercicir dan ketinggalan. Membawa cinta di setiap isi rumah

Aspirasi saya – semua sukarelawan, mahasiswa dan guru dapat bersama terus menyumbang kepada pendidikan

Aspirasi saya – TFTN dapat melahirkan pedagogi yang boleh menambah baik, memulihkan atau merevolusikan sistem pendidikan negara.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang ingin menyumbang ke arah memperkasa pendidikan. Pendidikan adalah solusi kepada semua masalah dunia. Marilah kita bersama bantu menggiatkan platform ini. Persoalannya, apakah yang diperlukan oleh sistem pendidikan kita sekarang? Satu Reformasi, Satu Transformasi ataupun Satu Revolusi?

Hari ini, saya ingin melontarkan cabaran kepada hadirin untuk menulis. Menulis apa-apa pun mengenai konvensyen hari ini dari mana-mana ucaptama ataupun gabungan ucaptama. E-mail kepada saya dan saya akan usahakan untuk menyiarkannya.

Di mana ada kebaikan daripada Konvensyen ini, ambillah, dan terus perkasakan idea-idea yang terbit, jika ada kelemahan, marilah sama-sama kita perbaiki. Anda semua, sungguh berharga buat masa hadapan Malaysia. Masa depan negara di tangan anda. Teruskan perjuangan!

Akhir kata, Baca, Faham, Fikir dan Bertindak!

Wassalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Berkonvensyen!

3,114 total views, 3 views today

Share!

    Check Also

    Volunteers Dinner

    TFTN Charity Fundraising Dinner with YBM Tengku Razaleigh Hamzah

    TFTN Charity Fundraising Dinner berlangsung pada 5 Julai 2013 (Jumaat) di Hotel Istana, Kuala Lumpur. …