Wednesday , 18th Jan, 2017
Home / Teach For The Needs / Sukarelawan Pendidikan Melalui TFTN
TFTN Garage Sale

Sukarelawan Pendidikan Melalui TFTN

1 Mac yang lalu, sekumpulan sukarelawan muda telah menubuhkan Teach For The Needs (TFTN), sebuah komuniti dalam talian yang namanya telah jelas menerangkan visi di sebalik penubuhannya.

Forum Dunia Pendidikan yang diadakan di Dakar pada tahun 2000 lalu berpegang yakin kepada matlamat bahawa menjelang 2015, “Semua kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak yang memerlukan yang terdiri daripada kalangan etnik minoriti, wajib mempunyai akses secara percuma kepada pembelajaran akademik dan juga mendapat pendidikan sekolah rendah yang berkualiti.”  Malaysia boleh dianggap bertuah kerana tidak menghadapi masalah untuk menyediakan peluang pendidikan rendah.  Namun begitu, masalah kita terletak pada fokus utama masyarakat Malaysia, di mana kelas tuisyen secara komersial dan pemilikan buku rujukan yang harganya semakin melambung telah mewujudkan jurang prestasi yang besar di antara murid-murid yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan berbanding dengan rakan sekelas mereka yang lain.

Objektif penubuhan TFTN adalah untuk menyediakan peluang kepada kelas tuisyen untuk murid-murid sekolah rendah yang terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan termasuklah anak-anak yatim yang tidak berpeluang menghadiri kelas-kelas tuisyen komersial akibat kekangan kewangan. Kelas tuisyen yang dimaksudkan merangkumi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang dikendalikan secara sukarela oleh sebilangan guru-guru muda di sekolah masing-masing. Kelas-kelas berkenaan dijalankan secara kelompok kecil yang terdiri daripada lima hingga enam orang murid dan diadakan selama tiga jam dalam seminggu, selepas tamat sesi persekolahan. Hal ini memudahkan pengurusan logistik, kerana keperluan-keperluan seperti bilik belajar dan pengangkutan tidak perlu diambil kira.

Para sukarelawan terdiri daripada golongan guru dan juga golongan bukan guru. Wakil yang dilantik di kalangan guru bertindak menyumbangkan masa dan tenaga untuk pengendalian kelas-kelas tuisyen percuma di sekolah masing-masing. Para sukarelawan bukan guru pula memberi sokongan strategik yang lain seperti pengurusan organisasi TFTN dan pengendalian aktiviti-aktiviti sampingan.

Kenapa ‘Needs’?

Mungkin ada yang bertanya, kenapa pemilihan kata ‘Needs’ digunakan berbanding Teach For The ‘Needy’ ataupun kata tunggal yang merujuk kepada satu keperluan (pendidikan) sahaja seperti ‘Need’? Jawapannya lebih komprehensif.  Aspirasi TFTN itu sendiri merangkumi tiga premis utama maka kata majmuk Needs yang mengandungi ‘s’ digunakan.

Teras pertama TFTN adalah bersandarkan kepercayaan bahawa terdapat keperluan untuk menyediakan peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mengalami suasana pendidikan sepertimana yang dilalui oleh rakan mereka yang lebih bernasib baik. Terdapat dua elemen utama yang dikenal pasti oleh TFTN untuk merealisasikan frasa “pengalaman di alam pendidikan/ educational experience”.

Pertama, perkembangan kognitif atau IQ melalui kelas tuisyen ekstra.

Kedua, perkembangan EQ melalui interaksi secara emosi dan pembinaan hubungan yang baik dengan murid. Kebiasaannya, murid yang datang dari keluarga yang bermasalah dan mempunyai masalah masalah kewangan gagal untuk menyediakan dua sokongan ini.  Akibatnya, anak-anak hanya belajar ketika menghadiri sekolah sahaja dan tidak mendapat sokongan tambahan di rumah.

Teras kedua TFTN ialah sebagai platform dan peluang untuk sukarelawan pelatih guru muda di bawah gerakan TFTN untuk mengukuhkan kemahiran pedagogi dan memantapkan keyakinan diri sebagai tenaga pengajar. TFTN mempunyai visi untuk menyemai serta menanamkan rasa ihsan untuk menolong golongan yang memerlukan tanpa mengharapkan ganjaran material dan keduniaan. Hal ini membuat kami berfikir tentang kepincangan-kepincangan sistem pendidikan; kami percaya komersialisasi yang terlampau dalam sistem sedia ada telah mewujudkan ketidaksamarataan dalam pengalaman di alam pendidikan murid-murid. Isu komersialisasi ini bukan sahaja menggalakkan para guru mengalihkan fokus pengajaran jauh dari input-input emosi, tetapi juga mengakibatkan keciciran murid-murid yang tidak mampu membiayai pendidikan dengan wang. Hal ini secara tidak sengaja, meletakkan profesion perguruan sebagai sebuah perniagaan yang mengharapkan output-output yang dinilai menggunakan penunjuk ukur berlandaskan keuntungan.

Teras ketiga TFTN merupakan misi jangka masa yang lebih panjang. TFTN berazam untuk memainkan peranan sebagai badan bukan kerajaan yang berusaha untuk menlenyapkan pandangan stereotaip di kalangan masyarakat Malaysia yang putus asa dan gagal mengenal pasti bahawa anak-anak yang kurang bernasib baik juga mempunyai potensi. Kanak-kanak ini dengan mudah dilabel sebagai pembuat masalah, pemalas dan tidak layak menerima sebarang perhatian khusus. TFTN percaya bahawa kanak-kanak ini sebenarnya mangsa yang tercicir dari pandangan para pendidik dan masyarakat sehingga menyebabkan harapan untuk mereka dilihat begitu tipis.

Kebanyakan kanak-kanak ini seringkali mengalami perasaan tersingkir. Akibatnya, mereka terdorong membina “dinding psikologi” yang menebal, menyebabkan mereka kurang beremosi, kurang mampu menunjukkan perasaan kasih sayang, empati serta ambil kisah terhadap peranan mereka sebagai sorang pelajar. Kerana kekurangan keperluan-keperluan emosi yang asas ini, mereka tidak dapat merasai pengalaman pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sebenarnya begitu menyeronokkan. Kembalinya perhatian masyarakat terhadap kanak-kanak ini akan dapat menyedarkan semula orang ramai bahawa kanak-kanak ini juga mempunyai potensi yang besar untuk diperkembang. Berdasarkan matlamat ini, TFTN beraspirasi untuk menyediakan sebuah platform yang cukup fleksibel dan mampu bergerak tangkas, digerakkan oleh individu-individu yang menginginkan perubahan serta harapan baru buat kanak-kanak kurang berkemampuan dan buat sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

TFTN percaya bahawa ramai rakyat Malaysia di luar yang ingin menyumbangkan ke arah memperkasakan pendidikan. Justeru, marilah kita sama-sama membantu dengan sukarela menggiatkan platform ini.

Menurut kata-kata hikmat daripada seorang pakar antropologi kebudayaan Amerika; “Jangan diragui bahawa sebuah kumpulan kecil yang mempunyai akal fikiran bernas sebenarnya mampu mengubah dunia, sesungguhnya itulah satu-satunya yang diperlukan.” – Margaret Mead.

Sambutan tsunami terhadap TFTN

Dalam tempoh lima bulan yang singkat, TFTN telah berjaya menggembleng kekuatan seramai 74 orang sukarelawan muda untuk membantu mencapai keperluan yang dikehendaki TFTN. Antara para sukarelawan ini, 22 orang telah ditugaskan untuk memainkan peranan strategik dan pentadbiran, manakala seramai 20 orang ditugaskan sebagai perwakilan/ duta guru di sekolah masing-masing. Sukarelawan bukan pendidik dialu-alukan untuk menyertai komuniti ini dengan memudahkan urusan gerak kerja dan kelas tuisyen di rumah anak yatim yang terpilih. TFTN juga telah mengambil dua buah rumah anak yatim; di Gopeng dan Kuantan, sebagai program elektif, bersama 32 orang sukarelawan yang lain. Jumlah bilangan murid di bawah penjagaan TFTN masa kini telah berjumlah seramai 150 orang murid.

Mengapakah sambutan terhadap TFTN begitu hangat?

Kajian empirikal telah membuktikan bahawa kejayaan aktivis sukarelawan terbukti apabila objektif  kesukarelawanan berjaya menyediakan peluang untuk pencapaian peribadi dan membolehkan para sukarelawan membentuk ikatan sosial dengan masyarakat. Para sukarelawan juga akan didorong oleh insentif seperti kejayaan peribadi, pengiktirafan dan aspirasi untuk memberi kepada masyarakat dan keinginan yang tinggu untuk mengimplementasikan perubahan sosial.

Paling penting, TFTN bertujuan untuk menyediakan platform bagi sukarelawan muda untuk terlibat dalam struktur yang dikenali sebagai “aktivisme pendidikan”, di mana semangat kekitaan dan pergerakan berorganisasi dapat diterapkan di samping  mencapai matlamat pendidikan yang asal.

Sejak awal penubuhan TFTN, guru-guru muda ini telah menyahut cabaran aktivisme pendidikan ini tanpa sebarang keraguan. Dengan semangat kesukarelawanan dan keikhlasan hati, mereka menawarkan perkhidmatan kelas tuisyen secara percuma. Hal ini menunjukkan bahawa kewujudan permintaan dan kehendak bagi sebuah platform seperti TFTN di kalangan para pendidik, tidak dapat disangkal lagi.

Para sukarelawan TFTN seringkali berkongsi pengalaman peribadi masing-masing dengan murid-murid yang kurang bernasib baik dengan penuh semangat, walaupun ada di kalangan mereka yang baru bertembung dengan pengalaman itu sekali sahaja sepanjang penglibatan dalam profesion keguruan yang masih di peringkat awal.

Bilangan guru yang ramai di Malaysia juga boleh dianggap sebagai pemangkin usaha ini. Terdapat 250,000 dan 300,000 guru sekolah rendah dan menengah yang berkhidmat dengan perkhidmatan awam. Kekuatan seramai ini telah memenuhi permintaan pendidikan hampir 3 juta dan 2.4 juta pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah. Berdasarkan angka diatas, tidaklah mengejutkan sekiranya TFTN berjaya menarik sukarelawan sebanyak ini dalam jangka masa pendek lima bulan sahaja.

Halatuju dan Masa Hadapan TFTN

Sebagai platform persediaan untuk aktivisme pendidikan, TFTN bergerak dengan berasaskan tiga pembahagian yang berfokuskan tiga golongan besar; murid, duta-duta, dan sukarelawan.

Tambah-nilai pertama TFTN ialah penyediaan kelas-kelas tuisyen, sokongan EQ dan pemantauan berterusan terhadap perkembangan akademik yang memfokuskan kelompok murid yang telah dikenalpasti.

Tambah-nilai kedua adalah untuk menyediakan rangka latihan kepada duta-duta dengan tujuan menambah dan mempertingkat pengalaman mengajar mereka. Hal ini bukan sekadar melibatkan penguasaan teknik-teknik pedagogi yang konvensional, tetapi juga melibatkan kaedah-kaedah bimbingan murid-murid melalui pendekatan yang profesional ke atas kumpulan sasaran TFTN yang terdiri dari anak-anak yang memerlukan. Tambah-nilai ini dijangkakan selaras dengan harapan supaya guru-guru muda ini berjaya menjadi penggerak perubahan sistem pendidikan yang dilihat bermasalah sepanjang kerjaya mereka.

Tambah-nilai ketiga yang telah dikenalpasti ialah penyediaan dana yang mapan. Sebagai satu platform yang berdaftar, keberkesanan usaha pengutipan dana daripada sumber-sumber dermawan yang stabil dan dana awam hasil daripada program kebajikan yang dilakukan dijangkakan lebih tinggi. Dana ini akan disalurkan kepada sukarelawan yang akan berinteraksi dengan rumah-rumah kebajikan, rumah-rumah anak yatim, atau sebarang organisasi yang seangkatan dengannya. Bukan itu sahaja, dana ini dijangkakan dapat membantu TFTN menyediakan peluang pendidikan dan motivasi kepada kanak-kanak kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.

Hasil daripada kajian terbaru bancian kemiskinan, 3.8 peratus kandungan isi rumah dilabelkan hidup di bawah garis kemiskinan. Ini bermakna lebih daripada 100,000 dari tiga juta murid sekolah rendah di Malaysia, layak untuk menjalani program TFTN ini. Oleh itu, masih terdapat banyak ruang untuk gerakan-gerakan seperti TFTN untuk memberikan bantuan buat murid-murid yang memerlukan ini.

Sebagai sasaran lima tahun berikutnya, TFTN merancang untuk menampung 1,500 pelajar, dengan bantuan 300 duta-duta yang terdiri daripada para guru, dan lima rumah anak yatim, menjelang akhir 2017.

1,886 total views, 1 views today

Share!

    Check Also

    mobtv

    Talkshow MobTv: What Say Youth – Sistem Pendidikan Negara, Jurang Pendidikan dan #TFTN

    Temubual MobTv mengupas isu:- – Falsafah Pendidikan Negara – Jurang Pendidikan di Malaysia – TFTN …