Wednesday , 18th Jan, 2017
Home / Teach For The Needs / Sukarelawan Pendidikan melalui Teach for The Needs: Bahagian II
DaHikmah Gopeng4

Sukarelawan Pendidikan melalui Teach for The Needs: Bahagian II

Seiring dengan peningkatan gaya hidup rakyat Malaysia menuju ke arah negara maju, ramai mula mencari sebab untuk menyumbang ke arah kebajikan. Immanuel Kant (1724-1804), ahli falsafah terunggul dalam bidang Etika, mengambil pendekatan etika kesukarelawan dalam banyak hasil kerjanya. Menurut beliau dan ramai tokoh pada era beliau, tunjang yang mendasari etika kesukarelawan ialah hasrat. Memetik kata-kata Ali Shariati dalam bukunya Ideology, pengasas bersama Teach for The Needs (TFTN), Zul Fikri Zamir percaya bahawa walaupun seribu orang Aristotle dan Plato wujud di zaman Purba Greek, kehidupan sosial mereka tidak akan berubah sekiranya tiada yang memberi.

Kesanggupan untuk berbakti hanya akan datang bersama-sama dengan kepercayaan tidak berbelah bagi kepada sesuatu isu. Apabila seseorang percaya kepada isu tersebut, kemungkinan untuk usaha berpanjangan dan menjadi pejuang lebih tinggi. Inilah jenis hasrat dan semangat yang cuba disuburkan, digerakkan dan dicungkil oleh TFTN. Digerakkan oleh sekumpulan anak muda, terdiri daripada guru-guru terlatih dan sukarelawan, TFTN berfungsi secara fleksibel dalam membekalkan tuisyen percuma selepas waktu sekolah kepada murid-murid sekolah daripada isi rumah kurang mampu. Berlandaskan istilah yang dijenamakan oleh TFTN sebagai ‘aktivisme pendidikan’, ‘duta-duta guru’ dan sukarelawan muda ini memulakan usaha mereka di kawasan sendiri, sama ada meluangkan masa selepas waktu persekolahan untuk mengajar tuisyen, atau mengangkat sesebuah rumah anak yatim di tempat mereka sebagai target perhatian dan program sepanjang tahun mereka .

Sebagai organisasi pertama yang menggunakan kaedah ini sebagai modus operandi, TFTN bekerjasama dengan NGO pendidikan yang lain, seperti Teach for Malaysia dan EduNation. Menfokuskan sudut yang berbeza menggunakan modus operandi yang berlainan, mereka mempunyai satu persamaan; memakai topi ‘warga prihatin’ dalam usaha untuk membaiki kekurangan sistem Pendidikan Malaysia.

Kenapa Pendidikan?

PISA merupakan permulaan yang baik untuk menerangkan kepentingan kerja-kerja organisasi seperti TFTN. PISA ialah sistem ujian tiga kali setahun yang diiktiraf dan telah dilaksanakan selama 15 tahun di 70 buah negara yang menyumbang kepada 90 peratus ekonomi dunia. Idea ujian ini adalah untuk menguji keberkesanan sistem pendidikan dalam usaha mempromosikan kemahiran berfikir kritis dan penyelesaian masalah di kalangan para murid. dan bukannya kemahiran menghafal dalam kalangan para pelajar dalam kemahiran membaca serta matapelajaran sains dan matematik. Malaysia di tangga 55 daripada 74 buah negara, meletakkan kita di tangan terbawah 33 negara.

Dalam ucapan yang disampaikan sempena Konvokesyen Pendidikan Pertama TFTN yang diadakan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya pada 8hb Disember 2012, Zul Fikri membincangkan pengajaran yang boleh diambil daripada sistem pendidikan Finland, yang muncul di tangga pertama dalam kajian yang dilakukan. Findland yang sebelum ini diletakkan di tangga ke 70 dalam kajian sebelum ini, melangkau ke tempat pertama pada 2009 selepas perubahan besar-besaran yang drastik dilakukan; termasuklah dengan permberia  kuasa autonomi penuh kepada sekolah dan menghapuskan sistem peperiksaan tegar. Dalam ucapan yang sama, Zul Fikri juga membincangkan isu tentang kanak-kanak Malaysia yang disuap, semata-mata untuk mengejar gred A, tetapi hilang fokus kepada matlamat pelajaran dan pergi ke sekolah yang seterusnya memberi kesan kepada prestasi teruk PISA.

Melalui sebuah sesi perkongsian antara duta-duta guru dan sukarelawan, TFTN menemui pendedahan mengejutkan. Seorang guru sehinggakan terpaksa mempelajari Bahasa Iban kerana para pelajarnya tidak boleh berbahasa Melayu, seorang guru yang lain pula terpaksa menempuh perjalanan sepanjang tiga jam untuk ke sekolah di pedalaman Sarawak, malah terpaksa menempuh  perjalanan merentas sungai yang berbuaya! Seorang guru di Banting pula terdorong menjadi kreatif untuk mengajar pelajarnya kemahiran asas huruf untuk murid calon UPSR dengan menggunakan kemahiran kreatif seperti penggunaan tanah liat, setelah menyedari pelajarnya buta huruf pada usia 12 tahun.  Secara purata di mana-mana sahaja kami dapati bahawa sekurang-kurangnya 10 peratus buta huruf! Oleh kerana peluang pendidikan berkadar terus dengan status ekonomi isirumah, kedudukan geografi urban dan luarbandar, dan pendedahan kepada infrasturktur dan kemudahan, terdapat murid-murid sekolah dalam sistem pendidikan kini yang telah dikenalpasti sebagai ‘terabai’.

Untuk membantu para guru berhadapan dengan kanak-kanak yang ‘memerlukan’ untuk ‘pengalaman TFTN’ ini, sukarelawan TFTN didedahkan dengan pendekatan berstruktur pedagogi untuk keperluan pendidikan khas melalui penceramah yang berwibawa sepanjang konvensyen. Salah seorangnya ialah Profesor Dr. Saedah Siraj; tokoh terkenal dalam bidang pendidikan akademik. Sumbangan beliau menfokuskan kepada Peruntukan Pendidikan kepada Kanak-Kanak Kelainan Upaya. Berpengalaman luas dalam menyaksikan perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak kelainan upaya dalam persekitaran yang tidak kondusif, bekas Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya itu menekankan bahawa proses pembelajaran kanak-kanak kelainan upaya perlu dibentuk bersama-sama stratergi tertentu. Stratergi ini termasuklah 1) pengajaran secara langsung, 2) pembentukan intipati pengajaran bagi memenuhi tahap emosi dan moral kanak-kanak tersebut, 3) kepelbagaian aktiviti menggunakan lima deria utama, 4) latihan ulangkaji yang berterusan dan berkaitan, 5) ejaan dan sebutan dan 6) perhatian khas kepada tingkahlaku dan adab.

Aktivis pendidikan juga mahu memberikan perhatian kepada isu kualiti di sebalik isu kuantiti yang membentuk fakulti pengajaran dalam sistem pendidikan Malaysia. Di konvensyen tersebut, satu forum diberi nama ‘Pendidikan Negara’ membincangkan dan mengenal pasti isu-isu terkini melibatkan kerjaya perguruan. Buat julung kalinya, isu kualiti dan keberkesanan fakulti pendidikan dibincangkan secara terbuka di forum awam, bukan sahaja melibatkan guru-guru dalam sistem pendidikan awam, tetapi juga pemerhati dan orang awam yang bersemangat untuk mendesak kewujudan perubahan dalam sistem pendidikan. Forum ini secara berkesan membincangkan kembali isu ‘pilihan’ dalam kalangan kohort guru-guru yang menceburi profesion perguruan; yang mana ramai antara mereka, terutama generasi muda, tidak memilih pun untuk menjadi guru tetapi tidak mempunyai pilihan kerana kelulusan yang terhad.

Edmond Yap, pengasas bersama EduNation yang membekalkan bahan pendidikan percuma atas talian berhujah bahawa Malaysia tidak mampu untuk menggadaikan masa depan generasinya dengan bersandarkan dasar substandard kerjaya perguruan yang sedia ada. Dzameer Dzulkifli, pengasas bersama Teach For Malaysia turut menimbulkan kebimbangan atas ketiadaan ‘Klausa Keluar’, yang mengakibatkan guru-guru tidak berisiko untuk dihentikan walaupun mereka tidak mempunyai prestasi kerja yang memuaskan. Beliau menambah bahawa tidak ada organisasi berprestasi tinggi mengekalkan individu atau pasukan yang tidak menyumbang kepada nilai organisasi tetapi beliau masih berharap akan berlaku perubahan kerana Pelan Stratergi Kementerian Pendidikan yang baru membincangkan hal ini. Dalam forum yang sama, Zul Fikri menambah bahawa TFTN ditubuhkan untuk sama-sama menyumbang kepada isu ini. Berbanding dengan tidak henti merungut, rakyat Malaysia wajar melakukan usaha sendiri dalam mengisi apa jua jurang yang wujud yang dikenalpasti memerlukan penambahbaikan.

Perjuangan Pendidikan Di Masa Hadapan

Perjuangan pendidikan gaya TFTN terbina di atas dua komponen utama. Salah satunya ialah meningkatkan peluang untuk para pelajar kurang mampu dan bermasalah. Kedua ialah memperkasakan para duta, di bawah ekosistem mandiri yang menyokong usaha mereka dan menawarkan input profesional dalam pembangunan kerjaya. TFTN menggalakkan idea yang ‘mengalir masuk’ dan inisiatif daripada para sukarelewan sendiri, berbanding daripada mengeluarkan arahan secara ‘aliran keluar’ daripada jawatankuasa pusat. Selain daripada pelaksanaan aktiviti pokok TFTN iaitu penyediaan kelas tuisyen yang hasil akhirnya dapat diukur melalui prestasi akademik dan markah ujian, peranan ‘penggerak’ melibatkan penyediaan platform untuk duta-guru di pelbagai lokasi untuk mewujudkan satu jaringan kerja iaitu satu simbiosis yang melibatkan perkongsian idea dan perasaan kebersamaan yang jitu.

Bersama-sama Profesor Saedah, konvensyen terbabit juga mengetengahkan Ustazah Khadijah dan modul percubaan beliau, “Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Rasulluah”  yang menggunakan teknik mendidik-dengan-tauladan Nabi Muhammad saw dalam menggalakkan perubahan sikap murid bermasalah.  Faedah utama bengkel kelolaan beliau ialah provokasi tersembunyi. Berbanding dengan hukuman langsung iaitu menuduhi atau memarahi, beliau menggalakan penggunaan sistem ganjaran dan hukuman berbeza, yang dikenalpasti akan menyebabkan kanak-kanak bermasalah untuk mempersoalkan teknik ini. Ini menimbulkan peluang yang lebih tinggi bagi kanak-kanak menumpukan perhatian apabila diberi penerangan. Dengan maklumat profesional seperti ini, TFTN berharap dapat memperkayakan sedikit sebanyak kebolehan guru-duta, dan mengayakan pengalaman pedagogi mereka.

Demi menggerakkan golongan ahli profesional yang tidak mempunyai pengalaman mengajar yang semakin ramai untuk turut serta dalam perjuangan pendidikan, organisasi seperti TFTN dan TFM juga boleh mencungkil dan meraikan kepelbagaian kemahiran dan kepakaran. Malah, terdapat keperluan niche untuk ahli profesional memainkan peranan mereka dalam membantu menaikkan gerakan seperti TFTN. Dengan cara menggabungkan metodologi korporat dan komersial yang dimiliki mereka dan menyumbang pengalaman seperti menstrukturkan carta organisasi, menyediakan perbendaharaan dan fungsi kesetiausahaan, mereka bentuk sistem pengurusan prestasi yang menggalakan persekitaran bertanggungjawab dan berorientasikan hasil.

Konvensyen seperti Konvensyen Pendidikan TFTN 2012 menjadi pentas utama untuk menggabungkan idea, menilai prestasi tahunan, dan menetapkan hala tuju masa depan. Dengan para guru dan sukarelawan daripada pelbagai lokasi dan persekitaran bertemu, peluang untuk latihan yang dijalankan lebih realistik dan menyeluruh wujud.

Selaku orang belakang tabir, penubuhan TFTN walaupun tidak mempunyai latarbelakang perguruan, saya telah mengongsikan dengan rakan-rakan sukarelawan lain di konvensyen tentang pencapaian TFTN untuk 2012 dan sedikit pengalaman peribadi tentang bagaimana TFTN telah mendapat tempat yang bermakna di hati saya. Sebagai penyokong kuat kesamarataan peluang pendidikan dan kesaksamaan, saya sependapat dengan TFTN dalam pendirian bersama kami bahawa membantu para pelajar rendah prestasi yang kerap dilabel sebagai ‘nakal’ dan ‘tak ada harapan’ oleh masyarakat merupakan satu langkah paling penting untuk meningkatkan status ekonomi sebahagian ahli masyarakat yang telah lama dipinggirkan. Saya selalu percaya bahawa pendidikan membentuk tulang belakang masyarakat. Kepentingan pendidikan tidak boleh dipertikaikan dan kekurangannya boleh menyebabkan ketidakstabilan, peningkatan kemiskinan dan ketidakpedulian.

“Sukarelewan itu tidak dibayar- bukanlah kerana tiada nilai dalam kerja mereka, tetapi kerana mereka tidak ternilai”

2,205 total views, 2 views today

Share!

    Check Also

    mobtv

    Talkshow MobTv: What Say Youth – Sistem Pendidikan Negara, Jurang Pendidikan dan #TFTN

    Temubual MobTv mengupas isu:- – Falsafah Pendidikan Negara – Jurang Pendidikan di Malaysia – TFTN …