Wednesday , 29th Mar, 2017
Home / Education / Memupuk Budaya Membaca Ke Arah Kecemerlangan Negara
15-minit-reading-02

Memupuk Budaya Membaca Ke Arah Kecemerlangan Negara

Oleh Anas Alam Faizli

Pada tanggal 6 April 1933, Jerman telah menyaksikan segolongan mahasiswa di bawah rejim Nazi melancarkan “Biblioclasm” bagi menghapuskan buku-buku yang kononnya disifatkan “anti-Jerman”. Kira-kira 2000 tahun yang lalu, pihak pemerintah China telah membakar buku-buku yang dianggap berbau Confuscian kerana tidak berpuas hati dengan pengaruh ajarannya yang semakin menular. Ketika penaklukan kota Baghdad pula, Perpustakaan Agung Baitul Hikmah yang kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan dimusnahkan oleh tentera Mongol. Diriwayatkan Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat banyaknya buku-buku yang dibuang.

Tesis umum yang dapat disimpulkan daripada peristiwa-peristiwa di atas ialah buku mempunyai peranan yang penting dalam mencipta dan seterusnya merangsang perkembangan ilmiah dan seterusnya tamadun manusia. Buku berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis dari segi politik, falsafah serta sosio-ekonomi di kalangan sesuatu kelompok manusia.

Lantas, pembakaran buku menjadi salah satu instrumen utama menguburkan pengaruh sesebuah idealisme, corak pemikiran, ideologi, ataupun budaya, oleh rejim yang berkuasa. Buku sangat berkuasa dan berpengaruh sehinggakan Napoleon Bonaparte pernah berkata “Aku lebih takut dengan empat orang penulis daripada seribu senapang”.

Kalimah Al-Quran yang pertama menekankan kepentingan membaca; “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (Al-Alaq, 96:3-4). Membaca juga tidak dapat dinafikan ialah titik permulaan penelaahan dan jelajah ilmu para cendekiawan dan filasuf dunia barat mahupun timur, klasik mahupun moden.

Hal ini jelas sekali mengangkat martabat buku di tempat yang tinggi dalam sejarah tamadun manusia. Peri pentingnya nilai penulisan melalui buku dan peradaban yang dicetuskan olehnya menobatkan buku sebagai antara penciptaan paling agung dalam sejarah tamadun manusia. Kita diingatkan dengan mutiara kata “Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya”.

Sejarah, Penulisan, dan Budaya Ilmiah Malaysia

Wacana kepentingan buku dalam mencorakkan hala tuju intelektual dan identiti sesebuah masyarakat tentu sedikit sebanyak terkesan dengan usaha merekodkan khazanah sejarah dan karya para sarjana tempatan. Malang sekali, periwayatan sejarah Melayu bermula dari zaman ketibaan Parameswara ke persisiran Melaka, sehinggalah dasar-dasar pentadbiran ekonomi berasaskan perdagangan Melaka, strategi pertempuran Tun Perak dan kesahihan hikayat Hang Tuah kurang di dapati, belum ditemui (mungkin masih berada dalam pegangan pihak tertentu), didapati hilang atau telah dihapuskan. Jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun dunia yang lain, kualiti dan kesemestaan perekodan sejarah Melayu jauh tercicir jika merujuk kepada faktor ini.

Kesinambungan warisan ilmu dan budaya ilmiah para cendekiawan, ahli akademik dan pemikir asing mahupun tanah air juga rontok. Jarang sekali kerja-kerja pemikir intelektual dan para filasuf diketengahkan dalam sistem pendidikan dan diskusi arus perdana seharian. Ujian litmusnya mudah sekali; tanyakan sahaja orang awam kini sekiranya mereka mengenali personaliti ilmuan dan juga nama-nama pencipta sejarah mahupun fakta dan pengetahuan umum. Jangan terkejut jika yang dikenali hanyalah artis-artis dan ahli perniagaan semata-mata.

Kajiselidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 dan 2005 kedua-duanya menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku setahun secara purata. Rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buku, manakala Rakyat Amerika dan Kanada paling hadapan dengan 17 buku.

Kurangnya tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia sememangnya membimbangkan. Golongan belia dan dewasa kini lebih menjerumus ke arah hedonisme dan hiburan berasaskan digital. Mereka tidak lagi menemukan keseronokan dalam membaca sebagai hobi di waktu lapang, jauh pula sebagai sumber hiburan. Akibatnya, hujah dan perbualan harian semakin tegar dinodai pandangan peribadi yang kurang berasas dengan kesahihan yang berpaksikan maklumat picisan dari Facebook dan Twitter.

Membaca Buku Mempertingkat Pendidikan dan Kualiti Hidup

Pendidikan merupakan prasyarat peningkatan status sosio-ekonomi individu dan isi rumahnya, lantas mutu kehidupannya. Kajian Jeanne Chall membongkar bahawa terdapat satu hubungan rapat dan eksklusif di antara pendidikan dan membaca. Maksudnya seseorang yang berpendidikan tinggi akan mudah untuk lebih membaca dan seseorang yang banyak membaca akan mudah ke arah berpendidikan tinggi. Jelas bahawa membaca memangkin dan memperkukuh pendidikan seseorang dan sebaliknya.

Kajian empirikal juga telah membuktikan bahawa kualiti hidup berkadar secara langsung dengan bilangan buku yang dibaca.  Secara purata, golongan yang membaca sebuah buku seminggu atau 50 buku setahun, didapati mempunyai taraf kualiti kehidupan yang tinggi. Manakala, golongan yang hanya membaca majalah atau surat khabar, dan kurang membaca secara amnya dilaporkan mempunyai kualiti kehidupan yang rendah.

Membaca ialah kaedah terpantas untuk memperolehi ilmu dan mendapatkan fakta. Secara langsung, membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca. Perolehan ilmu ini seterusnya dapat melatih kefasihan berbicara, serta menambah fakta-fakta yang baru dan memperlengkap fakta sedia ada. Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajam kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.

Membaca turut menawarkan kaedah senaman minda yang berkesan. Sebagai aktiviti yang lebih kompleks daripada menonton televisyen; membaca bukan sahaja memperkuat rangkaian dalam otak manusia, malah berupaya merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baru. Hasilnya ialah penambahbaikan konsentrasi minda di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, serta dapat mengatasi masalah jangka masa perhatian yang singkat.

Buku juga mampu membawa pembaca ke dimensi berbeza seterusnya melatih daya imaginasi kreatif serta perkembangan emosi EQ pembaca. Dimensi lain ini membawa pembaca menerokai pengalaman maya yang mungkin tidak dapat dirasai dalam kehidupan sehariannya, serta mencanangkan perspektif alternatif untuk melihat dunia melalui kacamata yang berbeza.

Tambah nilai utama pengalaman maya ini ialah galakan perkembangan peribadi pembaca. Bukan sahaja daripada sudut intelektual dan IQ semata-mata, membaca juga boleh merangsang aspek psikologi, kognitif dan EQ pembaca. Dalam menterjemahkan tulisan yang dibaca kepada bentuk-bentuk imaginasi visual dan emosi tanpa batasan, membaca menggalakkan sifat empati dan simpati.

Google dan rakannya tidaklah menawarkan ilmu pengetahuan yang lengkap tetapi cuma maklumat manakala buku menawarkan ilmu pengetahuan yang lebih dari sudut hujah dan pengolahan yang lebih terperinci, bertongkatkan ilmu latar belakang penulis yang lazimnya pakar di dalam disiplin ilmu terbabit. Bibit-bibit maklumat sahaja tidak mencukupi jika tidak disusunrangka menjadi suatu sistem ilmu yang dapat dimanfaat. T.S. Eliot merintih, “Di manakah kehilangan ilmu di tengah-tengah maklumat?” Ilmu pengetahuan yang unggul telah digantikan dengan maklumat-maklumat berbentuk picisan sahaja.

Cabaran Membentuk Budaya Malaysia Yang Membaca

Desakan keperluan ekonomi isi rumah boleh dikatakan salah satu punca rakyat Malaysia kurang membaca. Peningkatan kos kehidupan negara membangun seperti Malaysia menghimpit kita untuk mengejar kesenangan material dengan mengorbankan masa untuk membaca dan perolehan ilmu pengetahuan.

Buku-buku terbitan arus perdana, lebih-lebih lagi yang diimport, begitu mahal sehingga mencecah ratusan Ringgit Malaysia. Mustahil bagi 80 peratus isi rumah Malaysia yang memperolehi pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan untuk menggembleng sebuah koleksi buku yang komprehensif.

Lebih membimbangkan ialah sifat cintakan ilmu pengetahuan yang semakin menipis. Masyarakat hanyut dibawa arus hedonisme sehinggakan tabiat membaca terbatas kepada buku-buku teks dan nota-nota kuliah untuk tujuan peperiksaan, dan bukannya lahir daripada kecintaan ilmu dan keinginan meneroka perbatasan ilmu yang sedia ada.

Komuniti setempat berperanan penting meringankan beban ini melalui penubuhan kelab-kelab buku di kalangan para penduduk sekampung atau setaman perumahan. Sedikit sebanyak, beban kos buku berkualiti yang tinggi dapat dipikul bersama. Malahan, kelangsungan budaya membaca dan kebertanggungjawaban membaca sebagai ahli kelab buku juga dapat diterapkan. Langkah-langkah memperkasa koleksi perpustakaan tempatan serta kempen-kempen mengimarahkannya turut berperanan  melengkapi usaha menggalakkan budaya membaca dan menyegarkan kecintaan terhadap ilmu.

Menurut Walter Cronkite, “Sebesar mana pun jumlah harga pembinaan perpustakaan-perpustakaan kita, harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga sebuah negara yang jahil!”

Kempen Membaca Untuk Warga Malaysia

Tabiat membaca memerlukan kepada perubahan minda yang peka dan dimulakan dari awal. Justeru, beban menerapkan sifat suka membaca di kalangan anak-anak kecil terletak pada bahu ibu bapa. Individu-individu ini seterusnya diharapkan dapat menjadi asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang berpengetahuan, terpelajar dan dapat menyinambungkan gunapakai manfaat ilmu dalam perbincangan dan pekerjaan masing-masing. Perubahan satu generasi ke generasi yang lain akan dapat memastikan kemampanan tabiat membaca dan juga penerusan budaya ilmu di kalangan generasi yang berikutnya.

Rebutlah peluang untuk membeli buku dan bahan bacaan pada harga yang murah. Pesta buku Popular dan Big Bad Wolf contohnya menawarkan peluang baik untuk mengumpul keperluan bacaan keluarga anda selama setahun. Kedai buku terpakai dan perkhidmatan pinjaman buku turut menyediakan alternatif untuk mendapatkan buku dengan murah. Buku dalam bentuk digital e-Book ataupun format .pdf yang dimuat turun melalui internet juga praktikal bagi yang dilengkapi kemudahan internet.

Tetapkan 10 minit setiap hari untuk membaca! Tekadkan iltizam untuk membaca sebelum bermain Angrybird. Bawalah buku ke mana jua agar anda dapat menyelitkan sedikit pembacaan di waktu ruangan kosong. Langkah menyenaraikan buku dan tema yang ingin dibaca juga dapat membantu memotivasikan diri untuk sentiasa menghabiskan bacaan anda.

Budaya Membaca kearah Kecemerlangan Negara Tanggungjawab Bersama

Charles Jung menemui bahawa terdapat ciri-ciri bangsa yang sebenarnya telah dikodkan dan diwarisi melalui DNA. Hal ini menyebabkan setiap bangsa mempunyai ciri-ciri yang unik kepada mereka; maka tabiat suka membaca secara teorinya turut bergantung kepada keturunan dan kod DNA.

Ini boleh diubah dan wajib diubah! Dr. Fadzilah Kamsah sering menegaskan semua tabiat dapat diubah sekiranya diulangi dan dirohkan lebih dari 40 kali. Bukankah kita juga telah dijanjikan di dalam Al-Quran; “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (13:11).

Sejarah tamadun negara-negara dunia pertama membuktikan kuasa membaca dan menimba ilmu pengetahuan dalam pembentukan tamadun manusia dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Malaysia kini menghampiri halangan yang terakhir tetapi paling sukar dalam mengecapi kekayaan dan kemakmuran ekonomi; iaitu dalam membentuk sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan yang dianggotai oleh para ilmuwan dan rausyanfikir.

Hasrat murni ini harus diletakkan sebagai tanggungjawab bersama oleh setiap individu. Tabiat membaca mampu dan akan mengubah nasib negara kita. Marilah kita menerapkan budaya minat membaca di kalangan rakyat Malaysia, menggalakkan budaya cintakan ilmu, serta mempertingkat status sosio-ekonomi kita demi merealisasikan impian untuk sebuah Malaysia yang lebih baik ke arah kecemerlangan negara.

“Bagaimana sibuk sekalipun, anda mesti mencari masa untuk membaca, jika tidak anda akan kalah dengan jalan kejahilan yang anda pilih sendiri” — Confucius

3,108 total views, 1 views today

Share!

    Check Also

    thought

    The Continuous Revisit of Islamic Thought is A Must

    Thirteen years ago, my brother, Dr Afif completed the monumental task of memorizing the Holy …