Wednesday , 18th Jan, 2017
Home / Personal / Matinya Seorang Pelopor – Othman Abdullah Dalam Kenangan – Utusan Zaman, 25 Feb 1968
Haji Othman

Matinya Seorang Pelopor – Othman Abdullah Dalam Kenangan – Utusan Zaman, 25 Feb 1968

Hj Othman

(Penulisan asal dalam tulisan jawi) Utusan Zaman, mukasurat 7, 25 Februari 1968

Oleh Wartawan Kita

Pada minggu lalu seorang tokoh dalam perjuangan kebangsaan yang mungkin tidak begitu dikenali ramai ditanah air kita ini, telah kembali ke rahmatullah.

Tetapi peranannya yang penting dalam menyuburkan semangat kebangsaan di dalam dan di luar negeri sejak sebelum Perang Dunia kedua dulu, tetap akan dikenang oleh ramai rakannya diseluruh tanah air. Beliau ialah Othman Abdullah.

Waktu masih menuntut di salah sebuah Universiti di Mesir Almarhum telah mula memperlihatkan kesungguhannya bersama-sama berkecimpung dalam gerakan-gerakan Mahasiswa Malaya-Indonesia pada waktu itu.

Kemudian beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakannya menerbitkan majalah ‘Seruan Al Azhar’, majalah melayu yang pertama diterbitkan di luar negeri.

Beliau dilantik menjadi pengerusinya yang bertanggungjawab mengenai majalah itu sepenuhnya.

Dari majalah tersebut lahirlah suara baru dalam meniupkan semangat kebangsaan yang dapat disalurkan daripadanya.

Majalah itu terus mengisikan rencana-rencana yang mendorongkan perjuangan anti penjajahan sambil menyarankan persatuan antara Malaya-Indonesia.

Waktu berada di timur tengah Almarhum telah berpeluang melawat ke negara-negara Eropah seperti Perancis, Belanda dan Britain.

Waktu di belanda beliau rapat dengan bekas Naib Presiden Indonesia – Drs Mohd Hatta yang pada itu sedang menjadi mahasiswa di sana.

Beliau juga rapat dengan mahasiswa lain seperti Abdul Manaf, Rustam Afendi, Osman Sastroamidjojo.

Rustam Afendi adalah seorang Indonesia yang dilantik menjadi anggota perwakilan Belanda, Osman Sastro Mijiyo adalah adik kepada bekas Perdana Menteri Indonesia, Dr Ali Sastroamidjojo dan Abdul Manaf pula adalah seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Adik kepada Rustam Afendi ialah Bakhtiar Afendi seorang tokoh sandiwara dan pelakon yang terkenal di Malaya-Indonesia sebelum perang dunia kedua dulu.

Dia yang juga menjadi sahabat baik Almarhum telah ditahan di penjara Outram Road, Singapura bersama dengan beberapa orang lagi kerana kegiatannya yang membahayakan pihak British.

Dalam gerakan politik di Kuala Lumpur, Tuan Haji Othman pada awal perjuangannya telah menggabungkan diri dengan Kesatuan Melayu Muda sebagai Bendahari Kehormatnya.

Almarhum kemudiannya menyertai Kongres Pertama yang diadakan oleh pertubuhan-pertubuhan melayu yang dilangsungkan di Suleiman Club, Kuala Lumpur.

Almarhum merupakan seorang tokoh yang banyak memberikan tugas bersama-sama dengan rakannya yang lain menjayakan kongres itu.

Beliau juga aktif dalam gerakan-gerakan sastera dan sahabat pena.

Dalam kongres kesatuan wartawan-wartawan melayu yang pertama (sebelum perang) yang diadakan di Kuala Lumpur, beliau adalah diantara orang-orang yang mengambil peranan penting.

Dikalangan persurat khabaran, Almarhum amat terkenal lebih-lebih lagi beliau banyak menghabiskan tenaganya kepada mendiang Akhbar Harian Majlis sebagai pengurusnya.

Beliau sekarang telah pergi tetapi kepada sahabat-sahabat karibnya, kehidupan Almarhum masih dikenang dan diingati.

Kepada ketua pengarang kumpulan akhbar-akhbar Utusan Encik Melan Abdullah dan pengarang Berita Harian Encik Abdul Samad Ismail, Almarhum merupakan saudara tua yang banyak meninggalkan kenangan.

Pada usianya 63 tahun, Almarhum telah meninggalkan rakan-rakan dan sahabat handainya yang lain untuk menemui tuhannya terlebih dulu.

Almarhum adalah cucu kepada Tuan Haji Taib seorang hartawan melayu yang terkenal di semenanjung tanah melayu pada ketika itu.

Beliau meninggal dunia di rumah menantunya, Encik Mohd Zain Abu, pengarang berita Radio Malaysia, di sini.

Almarhum meninggalkan seorang balu, 15 orang anak, dan 20 orang cucu.

Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Roh Almarhum itu – Amin!!!

1,983 total views, 1 views today

Share!

    Check Also

    20130427_103557

    Higher royalty versus state ownership of Petronas

    The oil royalty debacle is perhaps one of the popular components for both Barisan Nasional …