Tuesday , 17th Oct, 2017
Home / Blindspot / Malaysia: Kitaran Mudarat Jurang Kaya dan Miskin serta Cadangan Penyelesaiannya
Kitaran Mudarat

Malaysia: Kitaran Mudarat Jurang Kaya dan Miskin serta Cadangan Penyelesaiannya

KENYATAAN AKHBAR
1 DIS 2014 – BLINDSPOT

Kitaran Mudarat Jurang Kaya dan Miskin serta Cadangan Penyelesaiannya

Pertumbuhan ekonomi adalah baik. Walau bagaimanapun, sesuatu yang baik, jika berlebih-lebihan dan dilaksanakan dengan kejahilan boleh mengakibatkan kemudaratan. Negara yang berpendapatan tinggi dan pada masa yang sama memiliki kesenjangan ekonomi yang tinggi, adalah pembunuh senyap yang tersembunyi seperti kolesterol yang membahayakan dan juga boleh memberi tekanan darah tinggi.

Kita jangan sesekali mengabaikan kesan buruk kesenjangan dalam usaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Forum Ekonomi Dunia baru-baru ini mengiktiraf kesenjangan sebagai masalah global nombor satu dalam Agenda Global 2015.

Status Negara Berpendapatan Tinggi tiada maknanya bagi lebih 80% rakyat Malaysia yang bekerja makan gaji ataupun yang bekerja sendiri, yang berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah. Pendapatan mereka yang rendah menyumbang kepada kesenjangan pendapatan yang besar, iaitu pengagihan pendapatan yang sangat pencong. Hanya sebilangan kecil sahaja rakyat Malaysia yang berpendapatan lebih dari sepuluh ribu ringgit sebulan.

Indeks pekali Gini Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini dan telah secara relatifnya kekal ditakuk melebihi 0.4 sejak tahun1980-an, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2014 bagi menangani kesenjangan pendapatan pada 3 Ogos, 2013.

Sebagai rakyat yang cakna dan prihatin, kami mendesak agar kerajaan untuk mengambil tindakan segera dan afirmatif bagi mengurangkan kesenjangan; iaitu jurang kaya dan miskin yang lebar di Malaysia.

Sebagai langkah permulaan, kami mencadangkan tindakan-tindakan berpaksikan polisi kepada 9 BIDANG UTAMA untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Kerajaan juga perlu mengambil kira penumpuan hasil dan pendapatan yang diterima daripada Petronas dalam usaha untuk mengurangkan kesenjangan.

1. Menetapkan indeks Gini atau ukuran kesenjangan lain yang bersesuaian sebagai matlamat sasaran negara.
•    Berbeza dengan pertumbuhan KDNK, tindakan dan kemajuan yang telah dicapai dalam mengurangkan jurang kaya miskin tidak mampu diringkaskan dan dinyatakan dalam satu nombor. KDNK, PNK, ETP, GTP, EPP, NKEA, NKRA dan sebagainya tidak dapat menangani permasalahan kesenjangan kepada negara. Permasalahan kesenjangan termasuk pengangguran, jenayah, kemiskinan, masyarakat yang tidak toleran dan kurang peduli, ketegangan antara kaum, masalah kesihatan dan sosial serta pengurangan berterusan serta barang sosial.
•    Indeks kesenjangan patut dijadikan matlamat sasaran negara dan perkembangan indeks ini harus dijelaskan kepada rakyat seperti juga pertumbuhan KDNK dan pendapatan per kapita. Sesuatu yang dapat diukur akan mampu dicapai. Kami mencadangkan agar Indeks Gini Malaysia dikurangkan kepada 0.35 pada tahun 2020 sebagai matlamat sasaran negara.

2. Gunakan pengukuran progresif untuk ukuran kemiskinan
•    Mensepadukan pelbagai takrifan kemiskinan dan nilai ambang (threshold) agar ianya memenuhi standard dan amalan global yang tekini. Berbanding menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berdasarkan kemiskinan mutlak, kami mencadangkan kerajaan menggunakan ukuran kemiskinan relatif dengan nilai ambang 60% daripada median pendapatan isi rumah dengan penyelarasan yang sesuai berkadaran dengan saiz keluarga. Pada masa ini ianya bersamaan dengan RM1,200 untuk individu, RM2,000 untuk isi rumah (sudah berkahwin tidak mempunyai anak), tambahan RM300 untuk 2 anak pertama setiap satu, RM200 lagi untuk anak ketiga dan ke-empat dan RM100 untuk anak yang seterusnya.

3. Memberikan peluang pendidikan yang saksama dan memperbaiki hubungkait antara tenaga kerja tempatan dan piawaian/standard sumber manusia.
•    Sekolah rendah berasrama penuh untuk kanak-kanak dari golongan miskin: hari ini, pelajar sekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM adalah anak-anak daripada ibu bapa golongan pertengahan dan kelas atasan yang mendapat pendidikan daripada sekolah rendah yang baik. Kita memerlukan SBP untuk sekolah rendah bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar dan luar bandar untuk mempertingkatkan peluang mereka untuk memasuki pendidikan peringkat menengah dan pengajian tinggi. Kerajaan boleh menggunakan sistem penyampaian alternatif untuk tujuan ini, sebagai contohnya memperkasakan ‘usahawan sosial’ untuk menyampaikan perkhidmatan pendidikan melalui perusahaan sosial.
•    Pendidikan dan latihan vokasional serta politeknik: kerajaan perlu menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 100,000 pelajar pada tahun 2020. Ini adalah penting untuk mempelbagaikan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja yang mana pada ketika ini, 75% daripadanya adalah pemegang sijil SPM dan ke bawah.
•    Universiti awam: kerajaan perlu meningkatkan pengambilan tahunan daripada 200,000 pada masa ini kepada sekurang-kurangnya 400,000 pelajar pada tahun 2020. Pelbagai kajian dan penyelidikan telah membuktikan bahawa pendidikan tinggi boleh membantu mengurangkan kesenjangan.

4. Memastikan pekerjaan yang wajar dan gaji yang adil untuk rakyat. Secara prinsip, tiada seorang pun yang bekerja sepenuh masa harus berada di dalam kemiskinan.

•    Menetapkan gaji minimum RM1,350 bagi tahun 2015 dan mensasarkan RM1,850 pada tahun 2020 untuk mencapai nisbah 40% CE / GDP yang dicadangkan oleh Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancangan Ekonomi, Datuk Sri Abdul Wahid Omar. Dengan sasaran PNK sebanyak RM1.7 trilion pada tahun 2020, jumlah yang dicadangkan ini perlu ditetapkan oleh kerajaan sebagai gaji minimum. Jumlah ini adalah 10% lebih tinggi daripada nilai ambang kemiskinan relatif yang kami cadangkan (RM1,200). Peningkatan tahunan sebanyak 6.5% dari gaji minimum 2015 akan dapat membolehkan gaji minimum RM1,850 dicapai pada tahun 2020.
•    Menetapkan gaji siling eksekutif tertinggi. Amalan syarikat yang membayar eksekutif peringkat tertinggi lebih daripada 50 kali ganda gaji purata atau median seharusnya tidak digalakkan. Ianya boleh dicapai melalui kadar percukaian tinggi.
•    Mengiktiraf hak kolektif pekerja. Fasal-fasal dalam Akta Kesatuan Sekerja perlu dikaji semula untuk memperkasa kesatuan sekerja dan Malaysia perlu meratifikasi konvensyen ILO.
•    Hadkan penggunaan pekerja asing dalam industri tertentu. Kerajaan perlu meningkatkan levi pekerja asing kepada RM5,000 dan menetapkan had ke atas guna tenaga pekerja asing oleh industri. Kerajaan boleh membenarkan pekerja asing 100% untuk pembantu rumah yang tulen. Walau bagaimanapun, bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan seharusnya tiada pekerja asing yang digunapakai, untuk sektor pembinaan peratusan maksimumnya 30% dan bagi industri berasaskan agro / perladangan, peratusan maksimumnya pula 50%.

5. Perumahan mampu milik. Secara prinsipnya, setiap rakyat perlu diberi peluang untuk memiliki sebuah rumah yang sesuai untuk kehidupan mereka. Kerajaan telah melabur jumlah wang yang besar untuk memupuk dan menyokong budaya inovasi termasuk inovasi sosial. Adalah baiknya untuk kerajaan, mendapatkan pulangan pelaburan daripada usaha-usaha inovasi dengan cara memberikan rumah mampu milik untuk rakyat.
•    Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu menyatukan semua agensi perumahan semasa dan SPV kepada satu badan perumahan negara yang berautoriti. Ini akan membolehkan pengurusan yang lebih baik dan ‘ekonomi skala’ yang lebih besar.
•    Kerajaan perlu memperketatkan RPGT dan pembiayaan rumah kedua dan pembelian rumah seterusnya dan pembelian asing untuk membendung spekulasi dan menstabilkan pasaran. Kerajaan juga perlu menyediakan bantuan bagi membolehkan pembeli kali pertama untuk membeli rumah mampu milik.
•    Sebagai alternatif, kerajaan boleh memberi kuasa kepada persatuan perumahan untuk membina rumah mampu milik dan memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri tempatan untuk mencari penyelesaian bersama-sama dengan persatuan perumahan dan ‘usahawan sosial’ untuk menyediakan perumahan mampu milik di kawasan masing-masing.

6. Membangunkan sektor rakyat atau sektor sosial untuk membantu menangani kemiskinan dan masalah sosial, menyediakan barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan mencipta inovasi sosial untuk membantu mengurangkan kesenjangan.
•    Sektor swasta Malaysia telah menikmati pelbagai sokongan, insentif, keistimewaan, akses kepada kewangan, program pembangunan, skim Kerjasama Awam Swasta (KAS), dan lain-lain; dengan cara disediakan atau dibantu oleh kerajaan. Seharusnya juga, kerajaan perlu membantu membangun, menyokong dan memberi insentif kepada sektor sosial.
•    Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu mengiktiraf hak tersendiri sektor sosial yang mana ianya bukan hanya satu unsur pengimbang sahaja, ataupun satu sektor yang tidak formal dan tidak dikitiraf. Selaras dengan usaha global untuk membangunkan sektor sosial, kerajaan perlu memperkenalkan pelbagai langkah, skim dan insentif untuk membangunkan sektor ini termasuk dana untuk inovasi sosial dan akses kepada kewangan sosial. Ini termasuk pembangunan yang sepatutnya untuk sektor pembiayaan mikro.

7. Pemindahan Sosial
•    Pemberian wang tunai untuk membantu membasmi kemiskinan melalui pemberian terus hendaklah berasaskan kepada keperluan yang jelas, garis panduan dan matlamat yang disasarkan. Tahap pendapatan yang layak untuk pemberian terus tunai perlu terikat kepada nilai ambang kemiskinan. Penghasilan matlamat yang wajar, garis panduan, langkah-langkah dan kaedah-kaedah peniliaian perlu diwujudkan sebelum ianya dilaksanakan.
•    Sebagai alternatif, bantuan kepada golongan miskin boleh dilaksanakan melalui sistem penyampaian alternatif, seperti pemerkasaan usahawan sosial untuk membantu pembasmian kemiskinan melalui perusahaan sosial.

8. Tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah
•    Rasuah dan tadbir urus yang lemah adalah antara punca utama kesenjangan yang besar. Kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk memerangi rasuah termasuk melaksanakan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi dan mengambil langkah-langkah radikal untuk mendedahkan dan menghukum perasuah.
•    Kerajaan, sektor awam dan sektor swasta perlu mematuhi dan dipandu seluruh dayanya dengan tadbir urus, integriti dan ketelusan prinsip dan garis panduan yang dianjurkan oleh Global Compact PBB, Transparency International dan Global Financial Integrity.

9. Langkah-langkah fiskal dan insentif
•    Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Warisan telah terbukti memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin di samping membawa hasil cukai tambahan kepada kerajaan.
•    Selain itu kerajaan boleh memperkenalkan pelbagai insentif fiskal untuk menggalakkan golongan berada di negara ini untuk menyumbang ke arah peningkatan kesejahteraan golongan miskin.

Mengurangkan kesenjangan ekonomi adalah lebih sukar berbanding penambahan pertumbuhan ekonomi. BLINDSPOT mencadangkan satu unit khas yang diketuai oleh seorang menteri yang berkebolehan yang bertanggungjawab bertugas dengan Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung dengan Kesenjangan diwujudkan untuk memperjuangkan matlamat ini. Unit ini harus diberikan kuasa yang secukupnya dan boleh membuat perlaksanaan merentasi kementerian lain bagi memastikan kesenjangan dapat dikurangkan. Kami menjangkakan bajet tahunan sebanyak 8% daripada KDNK diperlukan; penambahan 5% daripada peruntukan semasa.

Kerajaan, sektor swasta dan rakyat perlu bersatu padu menggembeling usaha untuk menangani kesenjangan pendapatan dan kekayaan. Seruan ini menyeru kepada usaha-usaha merangsang dan memperhebatkan wacana ekonomi dan sosial, dan juga kerjasama merentasi partisan untuk mencapai persetujuan mengenai matlamat-matlamat dan falsafah ekonomi baru.

BLINDSPOT menggesa semua kumpulan pemikir,  penggubal dasar, ahli akademik dan aktivis di Malaysia untuk menilai cadangan-cadangan ini dan menyumbang ke arah matlamat ini semaksima mungkin, bagi mewujudkan Malaysia yang lebih baik bukan sahaja untuk generasi kita, tetapi untuk generasi akan datang. Kami berharap cadangan-cadangan ini akan membantu memecahkan kitaran mudarat kesenjangan dan membawa Malaysia kepada kitaran ekonomi yang adil dan harmoni.

BLINDSPOT

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada:
ANAS ALAM FAIZLI – aafaizli@gmail.com
AZLAN AWANG – azlanawang@gmail.com
KHALID KARIM – khalidbinkarim@gmail.com
RAZIN MURAT – razin@ymail.com

* BLINDSPOT terdiri daripada sekumpulan profesional yang memberi focus kepada keadilan ekonomi dan sosial. Isu-isu yang diperjuangkan adakah isu yang memberi kesan kepada rakyat biasa seperti pekerjaan, upah/gaji, pendidikan, perumahan, kos sara hidup, kesenjangan, kemiskinan, perubahan ekonomi luar bandar dan implikasi agenda ekonomi hari ini kepada generasi akan datang.

2,861 total views, 1 views today

Share!

    Check Also

    High Income Nation

    High Income Nation but Low Income Population

    How does it feel to be in a high income nation that Dato Seri Idris …