Wednesday , 29th Mar, 2017
Home / Law & Politics / Kebebasan Maklumat, Kuasa Keempat dan Kelima: Perkasakan Media dan Pemberi Maklumat
kuasa

Kebebasan Maklumat, Kuasa Keempat dan Kelima: Perkasakan Media dan Pemberi Maklumat

Pada tahun 2009, Dato’ Seri Najib Razak melancarkan Model Ekonomi Baru (NEM) yang bermatlamat merancakkan ekonomi dipimpin kerajaan kepada ekonomi diterajui sektor swasta. Beliau mendakwa yang “era Kerajaan lebih tahu semua sudah berakhir”. Seterusnya, dalam temubual pada 2014 sempena ulangtahun ke-68 UMNO, beliau sekali lagi menjelaskan, “Dan, dengan penuh rasa rendah diri, kami beranggapan kami tidak tahu semua perkara. Saya pernah mengatakan yang era Kerajaan lebih tahu semua sudah berakhir.

Apa yang diungkapkan Perdana Menteri itu sangat tepat dan perlu dipuji. Walaupun konteksnya berkaitan dengan menganjarkan tanggungjawab lebih besar kepada sektor swasta atau untuk lebih terbuka menerima kritikan daripada rakyat umum, kenyataan beliau pasti akan lebih bermakna sekiranya penglibatan awam diambil kira dalam operasi dan dasar kerajaan.

Namun begitu, ini hanya mampu dicapai sekiranya masyarakat diberikan ruang dan peluang capaian kepada dokumen kerajaan; untuk memberikan peluang kepada rakyat umum memberikan kritikan membina. Dua kaedah demi melaksanakan ini dengan berkesan; pelepasan data secara berkala kepada rakyat umum untuk menilai, menganalisis dan meneliti dan seterusnya memberikan hak kepada rakyat umum untuk meminta capaian kepada dokumen dan maklumat kerajaan.

Memasuki era baru di mana masyarakat awam diperkasakan untuk lebih mengetahui yang mana baik, beberapa reformasi dasar perlu dilaksanakan dengan bersegera. Pertama, rakyat Malaysia perlu dikembalikan hak untuk kebebasan maklumat. Kedua, hak ekspresi dan bersuara. Ketiganya, kita perlu memperkasakan Prinsip Pemisahan Kuasa yang kini masih kabur antara tiga kuasa utama, seperti di bawah Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan – iaitu eksekutif, perundangan dan penghakiman. Media perlu dibebaskan daripada cengkaman dan dibiarkan menjadi pemerhati bebas dikenali sebagai Kuasa Keempat dan pemberi maklumat (whistleblower) yang membongkar korupsi selaku Kuasa Kelima.

Kebebasan Maklumat

Di Malaysia, hak kebebasan maklumat tidak dijamin oleh perlembagaan, malah tiada Akta perundangan yang menjamin hak asasi manusia ini; kecuali di Selangor menerusi Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) Akta 2010 dan di Pulau Pinang melalui Akta Kebebasan Maklumat 2010. Akta ini membenarkan orang awam mengakses dokumen kerajaan negeri kecuali maklumat yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) di peringkat kerajaan pusat.

Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Sejagat (UDHR) yang diratifikasikan Malaysia menyatakan, “Semua orang mempunyai hak untuk mempunyai dan menyuarakan pandangan; hak ini termasuklah kebebasan untuk memiliki pandangan tanpa campurtangan dan untuk mencari, menerima, dan memberikan maklumat dan idea melalui mana-mana media dan melalui apa sahaja saluran.” Hak yang sama perlu diberikan kepada semua warga Malaysia.

Dengan pemberian maklumat, masyarakat umum boleh melibatkan diri dan memastikan yang kerajaan berusaha sebaik mungkin. Ketersediaan/ capaian maklumat tentang aktiviti dan operasi kerajaan secara signifikannya akan mengurangkan peluang korupsi dan salah guna kuasa. Keterbukaan ini secara langsung memberi kebertanggungjawapan kepada kakitangan dan eksekutif awam. Malah, ini akan meningkatkan keyakinan awam kepada kerajaan.

Lebih daripada 95 negara di seluruh dunia termasuk China, India, Zimbabwe dan Thailand telah menggubal dan melaksanakan beberapa bentuk perundangan dalam hal ini, dan negara-negara lain sedang berusaha memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat. Di United Kingdom, Akta Kebebasan Maklumat 2000 memperkenalkan hak untuk mengetahui dan meminta apa sahaja maklumat daripada badan kerajaan, dengan beberapa pengecualian.

Lebih mengejutkan, China juga pada 2007 mengisytiharkan regulasi maklumat Kerajaan Terbuka yang menyediakan kerangka untuk Kebebasan Maklumat dalam negara. Di negara jiran pula, Akta Maklumat Rasmi 1997 di Thailand memberikan hak kepada rakyatnya untuk mengakses maklumat awam semua agensi dan jabatan kerajaan. Di Indonesia pula, pada tahun 2010 diperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat Umum. Inisiatif perundangan yang berlaku di pelbagai negara ini dilaporkan telah berjaya mendedahkan pelbagai skandal dan korupsi.

Kebebasan Maklumat dan Kuasa Keempat (Media)

Di Malaysia, setiap warganya dijamin hak kebebasan bersuara, hak berhimpun dan hak untuk berpersatuan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walaubagaimanapun terdapat kebimbangan yang timbul kerana kewujudan beberapa undang-undang yang kabur tafsirannya seperti Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Keselamatan (Peruntukan Khas) (SOSMA) 2012 serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang baru sahaja diperkenalkan, sebenarnya mengekang atau bertentangan dengan hak-hak yang diberi oleh perlembagaan.

Di Malaysia, bolehkah media kita diiktiraf sebagai kuasa keempat? Mari kita lihat situasi semasa Media kita; menurut laporan yang dikeluarkan oleh The Reporters Without Borders melalui Indeks Kebebasan Media Dunia, Malaysia berada pada tangga 146 daripada 180 negara. Mari kita fahami Akta-Akta berkaitan yang mengawal media dan pemberi maklumat.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) Pindaan 1987

PPPA ialah perundangan yang digunakan untuk mengawal aktiviti percetakan, pengimportan, pengeluaran, pengeluaran semula, penerbitan dan pengedaran semua bentuk penerbitan di Malaysia. Akta ini memberikan kuasa pengawalan semua lesen media cetak yang perlu diperbaharui setiap tahun oleh Kementerian Dalam Negeri. Pendek kata, ianya satu kesalahan jenayah untuk mempunyai atau menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Kementerian.

Pihak yang mendukung undang-undang ini mempertahankan kewujudannya atas alasan yang ia perlu digunakan bagi memastikan ketulenan dan kesahihan berita, mengawal media cetak, dan memastikan ada undang-undang bersesuaian bagi panduan mentadbir wartawan. Pihak yang menentang kewujudan akta ini pula berhujah yang PPPA merupakan serangan kepada kebebasan bersuara dan digunakan untuk mengawal wacana politik, mengawal pembangkang politik pemerintah, dan secara tidak langsung memastikan semua berita yang dikeluarkan untuk tatapan awam bersesuaian dengan kepentingan kerajaan.

Malah, pindaan pada 1987 memperuntukan klausa yang Mahkamah tidak boleh mempersoalkan tindakan yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri dan seksyen 7(1) PPPA pula memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan penerbitan mana-mana buku. Ini menguatkan lagi hujah yang Akta ini digubal untuk menjadi alat supaya Kerajaan berkuasa mutlak dalam mengawal media cetak.

Desakan dan tuntutan semasa ialah supaya PPPA dihapuskan, dan media cetak sewajarnya diberikan hak penerbitan tanpa lesen. Peruntukan dan perlindungan undang-undang sedia ada sudah mencukupi, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga Akta Fitnah 1957 yang boleh digunakan kepada media cetak yang menerbitkan berita palsu. Terdapat dua jenis fitnah di Malaysia; fitnah bertulis dan fitnah lisan yang boleh digunakan oleh kerajaan atau individu. Bagaimanapun, Akta Fitnah perlu memastikan tiada penjawat awam yang menerima manfaat daripada perlindungan khas akta tersebut dan tiada agensi kerajaan boleh memfailkan saman fitnah.

Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) Pindaan 1986

Akta ini memberikan kapasiti kepada Kerajaan untuk mengklasifikasikan apa sahaja dokumen sebagai ‘Rahsia’ Negara sekiranya Kerajaan merasakan dokumen itu mampu mengancam keselamatan negara. Wajar sekiranya dokumen yang berkaitan dengan ketenteraan, hubungan diplomatik sensitif, dan perisikan diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia’. Tetapi, pindaan tahun 1986 memberikan kuasa mutlak kepada semua Menteri untuk mengklasifikasikan apa sahaja dokumen yang wujud sebagai Rahsia menimbulkan persoalan. Apa sahaja kebocoran dokumen dan maklumat boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah dan pelaku dianggap sebagai musuh negara yang boleh dijatuhkan hukuman penjara mandatori.

Selain daripada dua Akta ini, wujud juga Akta Penyiaran 1988 yang membenarkan Menteri Maklumat untuk menentukan siapa yang boleh memiliki stesyen penyiaran, menyebabkan industri dimonopoli oleh beberapa pemain utama sahaja yang akhirnya membantutkan kebebasan media.

Serangan kepada Media dan Gerakan Media Marah (GERAMM)

Bertahun lamanya, pelbagai serangan ke atas media dan aktiviti penerbitan seperti penahanan, ancaman penggantungan lesen untuk media, dan pengharaman buku berlaku. GERAMM, sebuah gabungan longgar wartawan, wakil media, dan aktivis ditubuhkan pada 20 Disember 2013 sebagai tindak balas kepada keputusan kerajaan untuk menggantung lesen penerbitan mingguan “The Heat”. Banyak pihak melihat tindakan ini sebagai serangan dan halangan kepada kebebasan media. Selepas itu, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily juga digantung selama tiga bulan kerana laporannya tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Intinya, GERAMM, the Institute of Journalists Malaysia (IoJ), Center For Independent Journalism (CIJ) dan banyak lagi pihak berjuang untuk kebebasan media, penghapusan permit penerbitan, penghapusan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, serta menjunjung semangat kebebasan, keadilan dan hak asasi untuk media.

Kuasa Kelima: Pemberi Maklumat

Keperluan untuk kerahsiaan dalam urusan Kerajaan terutama sekali dalam perkara sensitif tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, wujud ruang yang samar-samar di antara kerahsiaan dan keterbukaan. Dalam situasi kekurangan ruang dan peluang untuk menjadikan Kerajaan atau organisasi bertanggungjawab atas tindakan mereka, pemberi maklumat adalah alternatif terbaik yang mampu membongkar maklumat berguna dan berfaedah berkaitan bagi mendedahkan salah tadbir dan urus.

Bagi memastikan pemberi maklumat mempunyai keberanian untuk menonjolkan diri perlu ada bentuk perlindungan baik yang melindungi mereka, seterusnya membolehkan mereka melaporkan salah laku, dalam usaha untuk menjadikan kerajaan lebih bertanggungjawab. Lindungilah seseorang dan dia akan beritahu segala-galanya.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA) sedia ada tidak menjamin perlindungan yang mencukupi. Perlindungan ini terbatal sekiranya pemberi maklumat berkomunikasi dengan pihak selain daripada agensi kerajaan terlibat dan perlindungan ini boleh ditarik balik sekiranya agensi penguatkuasa berpandangan yang laporan itu “secara prinsipnya mempersoalkan merit polisi kerajaan, termasuklah organisasi awam”.

Jalan buntu sebenarnya; sekiranya anda mendedahkan maklumat tetapi tidak melaporkan kepada pihak ketiga, anda sebenarnya seorang pemberi maklumat tetapi meletakkan diri dalam risiko sekiranya pihak berkuasa tidak memihak kepada anda. Sekiranya anda melaporkan kepada pihak ketiga, anda bukan seorang pemberi maklumat tetapi seorang penjenayah.

Magna Est Veritas Prae Velabit – Kebenaran itu Berkuasa dan Akan Sentiasa Menang

Pada April 2016, International Consortium of Journalist mendedahkan 2.6 terabyte data dari firma undang-undang Mossack Fonseca di Panama dan mengaitkan 140 pemimpin dunia kepada akaun rahsia pesisir pantai di 21 lokasi bebas cukai. Hasil pendedahan dan kecaman amarah masyarakat, Perdana Menteri Iceland, Sigmundur Davíð Gunnlaugsson dan penyandang Menteri Industri Sepanyol, Jose Manuel Soria; telah meletakkan jawatan. Mereka berdua dikaitkan dengan syarikat pesisir pantai. Ramai tokoh kanan kerajaan di seluruh dunia juga turut disiasat.

Terdapat banyak lagi contoh di seluruh dunia membuktikan bagaimana kuasa keempat dan kelima memainkan peranan penting dalam mengheret para koruptor ke muka pengadilan; seperti Skandal Watergate, Pentagon Papers, WikiLeaks, dan pelbagai lagi. Sekiranya kerajaan dibenarkan beroperasi dalam kerahsiaan; salah laku dan korupsi akan bercambah dan merebak subur tanpa gentar. Kebenaran akan membuatkan anda marah, rasa dikhianati tetapi di akhirnya, ia akan membebaskan anda.

Jalan Menuju Urus Tadbir Baik dan Kebertanggungjawapan

Masanya sudah tiba untuk kerajaan Persekutuan melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang menyeluruh dan bukan sahaja meliputi kerajaan dan agensinya tetapi juga melindungi mereka yang mendedahkan maklumat salah laku dan salah tadbir perlu diperkukuhkan.

Akta Rahsia Rasmi perlu digunakan hanya untuk dokumen yang mempunyai kaitan rapat yang jika sekiranya terbongkar mampu memberi kesan buruk kepada keselamatan, pertahanan negara dan hubungan luar. Jawatankuasa pelbagai parti dari Kerajaan dan Pembangkang perlu ditubuhkan di Parlimen untuk menilai sensitiviti dokumen-dokumen ini.

Lebih penting, sekiranya wujud kepentingan awam dalam dokumen rahsia, perlu ada peruntukan yang membenarkan status kerahsiaan dokumen itu dicabar. Had masa yang bersesuaian juga perlu diletakkan kepada dokumen OSA yang membolehkan status kerahsiaan ditarik balik selepas jangka masa tertentu.

Akta Hasutan 1948 yang merupakan legasi kerajaan penjajah British juga perlu dimansuhkan bagi membenarkan kebebasan ekspresi serta kritikan membina kepada dasar kebangsaan kita. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) hanya perlu menghendaki media supaya mendaftar dengan Kementerian Maklumat tanpa perlu ada peruntukan meminta izin untuk memperolehi lesen percetakan dan penerbitan tahunan.

Kerajaan Sweden telah memberikan hak kebebasan maklumat kepada warganya seawal 1766. Kita perlu bergerak pantas kerana sudah ketinggalan selama 250 tahun. Ayuh raikanlah kurun ke-21 dengan menawarkan hak asasi kebebasan maklumat, bersuara dan ekspresi kepada rakyat, serta memperkasakan media kita dan pemberi maklumat yang berperanan selaku mekanisme timbal-balik Kerajaan.

Dalam situasi semasa, kita sebenarnya hanya berjuang menentang korupsi di permukaan sahaja, hanya memadam api yang terbakar dan padam secara berkala tanpa mampu melihat sinar cahaya di hujung terowong dan telah dijatuhkan hukuman untuk gagal. Perlaksanaan cadangan-cadangan yang disyorkan di atas ini akan mampu merobohkan sesiapa sahaja hatta regim paling korup dan menindas; memadamkan api langsung ke puncanya.

*Versi artikel ini pertama disiarkan oleh Astro Awani

9,588 total views, 30 views today

Share!

    Check Also

    IMG-20150428-WA071

    Deklarasi Gabungan Merdeka Rakyat

    DEKLARASI GABUNGAN MERDEKA RAKYAT @gmerdekarakyat 28 APRIL 2015 Malaysia dirahmati dengan hasil mahsul tidak ternilai, …