Monday , 29th May, 2017
Home / Personal / Pedagang Minang di Kuala Lumpur – Haji Mohd Taib bin Hj Abdul Samad (1858-1925)
Haji Taib

Pedagang Minang di Kuala Lumpur – Haji Mohd Taib bin Hj Abdul Samad (1858-1925)

Hj Taib

Oleh Nordin Hussin, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Nelmawarni Bungo, Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol Padang
Sumatera, Indonesia, 2011

Kuala Lumpur adalah salah satu kawasan bandar yang banyak ditempati oleh perantau Minangkabau. Kebanyakan mereka yang menetap di kawasan ini adalah memulakan penghidupan baru sebagai seorang peniaga atau pengusaha lombong bijih timah. Maka sejarah awal Kuala Lumpur penuh diwarnai oleh perantau Minang yang mengusahakan perniagaan dan perlombongan. Antara pedagang Minang yang berjaya di Kuala Lumpur adalah Haji Momamed Taib. Beliau adalah salah seorang perantau Minang yang berjaya dalam perniagaan (Selangor Secretariat 4304/1896, Gullick, 1998: 34)

Haji Mohd. Taib bin Haji Abdul Samad dilahirkan pada tahun 1858 dan berasal dari Batu Sangkar Minangkabau Sumatera Barat. Beliau telah merantau ke Malaya pada tahun 1876 iaitu semasa berusia 18 tahun (Roff, 1966: 62-68). Sebagaimana kebanyakan pemuda Minang yang merantau waktu itu beliau juga berpegang kepada nilai dan tradisi Minang yang diamalkan iaitu untuk mencari kehidupan baru dengan berniaga dan berdagang di tempat baru. Kebanyakan perantau Minang yang berdagang di Kuala Lumpur pada tahun 1880-an adalah mereka yang mengusahakan perniagaan runcit terutama membuka kedai. Terdapat juga sebilangan kecil yang mengusahakan perusahaan seperti Haji Mohd. Taib yang telah melaburkan modal perniagaannya dalam bidang perlombongan, perkebunan dan perdagangan. Sejarah kejayaan perniagaan Haji Mohd. Taib bermula sebagai seorang pedagang barang perhiasan yang berjaya di Selangor (Gullick, 2000: 201).

Beliau memiliki lombong biji timah, tanah perkebunan, sejumlah rumah besar serta kedai di Malay Street dan di beberapa kawasan disekitar Kuala Lumpur (Selangor Secretariat 4304/1896). Beliau juga memiliki tanah seluas 25 ekar untuk perlombongan di Semenyih (District Office Ulu Langat, 30 May 1907). Begitu juga halnya dengan Haji Abbas bin Abdul Samad iaitu saudara kepada Haji Mohamad Taib bin Haji Abdul Samad yang juga pengusaha dalam bidang perlombongan. Haji Abbas bin Haji Abdul Samad juga memiliki tanah perlombongan seluas 7 ekar di Pertak Selangor (District Office Ulu Selangor 11 April 1911).

Perniagaan Haji Mohamad Taib terletak di no. 27 Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Beliau mempunyai 10 orang anak, enam orang laki-laki dan empat orang perempuan. Kesemua anak lelakinya telah dididik dalam bidang perdagangan dan membantunya menjalankan aktiviti perdagangan (Roff, 1966:62-68). Hasil dari perniagaannya beliau telah beberapa kali menunaikan haji bersama dengan keluarganya dan juga telah membuka cawangan perniagaannya di tanah tumpah darahnya iaitu di Minangkabau. Pada tahun 1896, Haji Mohd. Taib telah membawa anakanaknya, iaitu Haji Abdullah bin Haji Mohd. Taib dan Haji Ahmad bin Haji Muhammad Taib ke Kampung Rao-Rao (Kampung Rawa-Rawa) iaitu sebuah perkampungan para peniaga di Sumatera iaitu tanah leluhur Haji Mohd.Taib bin Haji Abdul Samad (Persatuan Melayu Selangor (PMS), 15 April 1934).

Pada tahun 1900 Haji Abdullah anak sulung Haji Mohd.Taib telah mengunjungi tanah suci Mekkah bersama saudara-saudaranya. Kemudian dalam tahun 1901 beliau menikah dengan Che Siti Hawa binti Mohd.Yasin seorang gadis Melaka dari Kampung Jambatan Duyung. Mereka mempunyai tiga orang anak. Dua orang yang pertama meninggal semasa kecil. Anaknya yang ketiga adalah Othman bin Abdullah yang lahir pada 21 Disember 1905 di rumah keluarganya No.27 Jalan Pudu (Roof, 1966:62-68).

Sebagai seorang cucu pedagang Minang yang berjaya di Semenanjung Tanah Melayu, Othman Abdullah pernah merantau ke Mekkah selama lima tahun belajar agama di Masjidil Haram dengan gurunya Haji Abdullah Tembusai yang juga seorang perantau Minang di Mekkah. Pada tahun 1925 beliau melanjutkan pendidikannya di Universiti Al-Azhar Cairo. Semasa di Cario beliau terkenal sebagai seorang pelajar Melayu dari kalangan keluarga yang berada. Pada tahun 1925, berkat sokongan kewangan dari beliau dan keluarganya telah berjaya menubuhkan sebuah persatuan untuk pelajar-pelajar Indonesia dan Melayu yang telah ditubuhkan di Al-Azhar dengan nama Al-Jam’iah al-Khairiah.

Ini adalah persatuan Melayu yang pertama ditubuhkan diluar negara. Antara kegiatan utama persatuan ini adalah menerbitkan majalah bulanannya yang dinamakan Seruan Azhar yang bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Melayu di tanah air tentang perubahan politik dan kesedaran kebangsaan. Selain itu juga Othman Abdullah juga merupakan salah seorang nasionalis Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan KMM (Kesatuan Melayu Muda) sebagai bendahari (Roff, 1967: 271).

Haji Ja’far Amin anak saudara kepada Haji Mohd. Taib yang juga seorang pedagang Minang yang  erjaya di Kuala Lumpur juga merupakan pengusaha sebuah Restoran Melayu di Jalan Melaka. Haji Ja’far Amin juga adalah datuk kepada Dato’ Firdaus Abdullah, iaitu salah seorang keturunan Minangkabau,  yang berasal dari Rao-Rao Batu Sangkar Minangkabau. Beliau dilahirkan pada 3 Jun 1944 di Kuang Selangor. Selain seorang ahli akademik (sosial saintis) beliau juga berpengalaman dalam bidang  kesusasteraan, Beliau terkenal sebagai penyair yang kental dengan “semangat kedaerahannya” atau “keminangkabauannya”. Ini sering terserlah dalam karya-karyanya yang kreatif. Bahkan penglibatan beliau dalam dunia puisi, bermula dengan berbagai-bagai bentuk puisi Minangkabau. Menurut Firdaus, dari segi bahasa dan sastera, puisi puisi yang paling digemari semasa kecil dahulu adalah pantun-pantun dan pepatah-petitih Minangkabau.

Apatah lagi oleh sebab keluarganya adalah memang berasal dari Minangkabau dan masa sebelum perang,  ayahnya selalu mengikuti siaran Radio Republik Indonesia, terutama yang dipancarkan dari Padang yang  selalu menyiarkan Sandiwara Randai dan lagu-lagu Minang lama. Pengaruh Minangkabaunya amat jelas di mana sahaja beliau berada, baik di Amerika ataupun di Moscow. Nada Minangnya tetap dapat dikesan melalui puisi-puisi yang dihasilkannya. Beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya Kuala Lumpur dan bergelar Profesor. Pernah menjawat jawatan ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.

Setelah Haji Ja’far meninggal usaha ini dilanjutkan oleh anaknya Abdullah Haji Ja’far. Restoran Waspada yang terletak di Wisma Yakin adalah cawangan dari restoran kepunyaan keluarga Firdaus Abdullah. Restoran cawangan ini diuruskan oleh Haji Jiran yang berasal dari  Kabau Bukit Tinggi, (Keterangan ini diperoleh dari temubual dengan Pak Bukhari, suami kepada adik perempuan Firdaus Abdullah, pada 10 Februari 2010 di Keramat Permai Kula Lumpur. Menurut Firdaus Abdullah ketika ditemubual pada 15 Ogos 2006, beliau mengatakan bahawa semasa pemerintahan Inggeris hanya terdapat dua kedai makan Melayu di Jalan Melaka Kuala Lumpur dan salah satu daripada restoran makanan tersebut adalah kepunyaan ayahandanya.

 *Tulisan penuh boleh dibaca di http://www.ukm.my/geografia/images/upload/10.geografia-2011-4-sp-nel&nurdin-uin%20padang&ukm-1-am.doc.pdf

4,335 total views, 2 views today

Share!

    Check Also

    20130427_103557

    Higher royalty versus state ownership of Petronas

    The oil royalty debacle is perhaps one of the popular components for both Barisan Nasional …